Aquawalk rancang buka cawangan di Sabah dan Indonesia - Utusan Malaysia

Aquawalk rancang buka cawangan di Sabah dan Indonesia

KETUA Eksekutif Aquawalk Group Berhad, Daryl C H Foong ketika bercakap pada forum Bursa Malaysia & Hong Leong Bank Stratum Focus Series di Bursa Malaysia di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangun dan pengendali akuarium, Aquawalk Group Berhad memperluas daya tarikan dalam kunjungan tempatan dan antarabangsa melalui rancangan pembukaan dua cawangan baharu di Sabah dan Surabaya, Indonesia.

Pengarah Eksekutifnya, Daryl C H Foong berkata, cawangan Sabah akan menjadi destinasi keutamaan kerana ekopelancongan yang pesat dan jumlah penerbangan terus yang tinggi.

“Ekopelancongan antara faktor penentu lokasi tersebut sesuai dibuka atau tidak kerana adanya potensi membuka laluan masuk kepada pelancong-pelancong luar.

“Malah, Sabah diiktiraf sebagai ‘bintang baru’ didorong permintaan tinggi serta kadar penginapan yang jauh lebih mahal berbanding di ibu negara,” katanya dalam pembentangan Persidangan Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank Stratum Focus XX di Bursa Malaysia, hari ini.

Menurutnya, tiga tahun kebelakangan ini, jumlah pengunjung tempatan menurun 10 peratus tahun demi tahun kerana lebih ramai rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negara.

Namun, ia melonjak kepada 60 peratus pada 2022 ekoran sempadan negara dibuka semula dan pelancongan antarabangsa kembali pulih.

Didorang pertumbuhan positif itu, Daryl menumpukan perhatian kepada tiga strategi utama bagi memperkukuh operasi dan perluasan perniagaannya.

“Pengoptimum lokasi matang adalah penting sebagai usaha mengekalkan aliran pengunjung yang stabil melalui penggunaan inisiatif teknologi.

“Berhubung dengan itu, kami mengutamakan pelaburan dalam teknologi maklumat bagi meningkatkan sistem pengurusan, mengurangkan kesesakan dan menambahbaik pengalaman pengunjung.

“Selain itu, beberapa langkah penjimatan tenaga elektrik, air, dan kos penyelenggaraan turut dilaksanakan untuk memastikan operasi lebih mampan dan berkesan,” katanya.

Kata Daryl, prospek industri adalah sangat positif secara keseluruhan dengan semua pemain menunjukkan pertumbuhan kukuh dari semasa ke semasa.

“Kami juga bersedia untuk memanfaatkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026, menunjukkan pertumbuhan kukuh ke arah kejayaan lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN