KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), melalui jabatan tanggungjawab sosial korporatnya, Allianz4Good, dengan bangga meraikan graduasi bagi 47 graduan Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP).
Ia adalah sebuah inisiatif yang dikendalikan oleh Sabah Cheshire Home and Services (Sabah Cheshire Home) dan Selangor Cheshire Home and Services (Selangor Cheshire Home) untuk membantu golongan belia Orang Kelainan Upaya (belia OKU) mengembangkan kemahiran sedia bekerja dan kebebasan kewangan jangka panjang.
Di Selangor, para pelatih telah menjalani latihan komprehensif dalam bidang Hospitaliti dan Kulinari.
Seramai 32 orang pelatih telah berjaya menamatkan latihan kemahiran dimana program ini menampilkan modul seperti latihan pengemasan bilik dan barista sambil mengukuhkan kemahiran bersosial mereka.
Pencapaian ini telah diraikan pada majlis graduasi pada bulan Ogos, di Selangor Cheshire Home di Batu Caves.
Di bawah EEP di Sabah, 15 orang pelatih memulakan perjalanan intensif melalui program Sijil Kemahiran Pastri Asas, yang diiktiraf oleh Sijil Kemahiran Malaysia.
Modul yang diselesaikan termasuk amalan kesihatan dan keselamatan, penyediaan pastri, dan jualan dan pemasaran. Pencapaian penting termasuk peperiksaan pastri Tahap 2 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan kerja keras mereka terbukti dalam majlis graduasi yang membanggakan pada bulan September di Hotel Raia di Kota Kinabalu.
Penasihat Selangor Cheshire Home, Datin Paduka Khatijah Sulaiman berkata, “Sokongan ini memperkukuhkan ekosistem latihan dan bimbingan kerja kami, memberikan pelatih kami keyakinan dan kecekapan untuk berkembang maju di tempat kerja.”
Presiden Sabah Cheshire Home, Lawrence Hee Qui Shing, menambah, “Melihat pelatih kami menamatkan pensijilan dan mara ke penempatan industri membuktikan apa yang boleh dicapai oleh latihan inklusif dan perkongsian majikan.”
Disebabkan oleh hasil positif ini, Allianz Malaysia akan terus menyokong EEP untuk tahun kedua.
Selain kemahiran teknikal, kedua-dua program ini menekankan pembangunan peribadi, kesejahteraan mental dan keterangkuman sosial — memupuk kebebasan, meningkatkan hasil pendidikan dan meluaskan peluang pekerjaan untuk belia OKU.










