Kerajaan mahu sekat, tapis penggunaan media sosial oleh kanak-kanak

Kerajaan mahu sekat, tapis penggunaan media sosial oleh kanak-kanak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses untuk mengawal selia platform dalam talian dengan menyekat pengguna di bawah usia 16 tahun daripada mengakses kandungan selain memastikan tapisan kandungan terhadap pengguna di bawah 18 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Kata beliau, ia akan menumpukan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan yang bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.

“Di bawah perundangan subsidiari ini, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 16 tahun dan wajib memastikan kandungan dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.

“Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa atau parental control selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada Kementerian Komunikasi bersedia untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengawal kandungan dalam talian yang memudaratkan serta melindungi golongan rentan, khususnya remaja dan kanak-kanak.

Katanya, beberapa undang-undang berkaitan telah digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.

“Langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, bertanggungjawab daripada segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma.

“Bagi menyokong kerangka pelesenan ini, MCMC menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial,” jelasnya.

Tambahnya, kod tersebut menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan memudaratkan.

“Ia termasuk keperluan melaksanakan langkah verifikasi umur, menyediakan tetapan kawalan bagi ibu, bapa, penjaga yang efektif dan memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat.

“Kerajaan juga menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan dan obligasi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN