PETALING JAYA: Ajinomoto (Malaysia) Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kelestarian selepas menerima dua anugerah berprestij tinggi di Anugerah ESG PLUS, baru-baru ini.
Syarikat makanan dan bioteknologi itu diumumkan sebagai Peneraju Kelestarian dengan pengiktirafan dalam kategori Ekonomi Kitaran dan Pengurusan Sisa serta Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Bersih.
Anugerah tersebut yang meraikan organisasi dan tokoh yang menerajui amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di rantau ASEAN itu menekankan pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial serta tadbir urus mantap sebagai asas kepada pertumbuhan perniagaan mampan.
Timbalan Pengurus Kilang yang juga merupakan Penyelaras ESG, Ramesh Sadiappan berkata, pengiktirafan itu membuktikan peranan aktif Ajinomoto Berhad dalam memacu agenda kelestarian.
“Anugerah pertama, Ekonomi Kitaran dan Pengurusan Sisa, mencerminkan usaha Ajinomoto Berhad dalam mengurangkan sisa dan menggunakan sumber dengan lebih cekap.
“Mereka juga telah melaksanakan pendekatan 4R dalam pengurusan sisa, menukar enapcemar air sisa kepada baja bio yang diluluskan serta menggantikan pembungkusan Non-PO Mix yang tidak boleh dikitar semula dengan pembungkusan mono-plastik PO Mix yang boleh dikitar semula bagi AJI-NO-MOTO®️ Umami Seasoning,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, kategori Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Bersih mengiktiraf pelaburan syarikat berkenan di Kilang Pintar Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang berteraskan konsep kecekapan tenaga, lengkap dengan sistem solar fotovolta (PV) berkapasiti 4.2 MW, menjana kira-kira 4,500 MWh tenaga bersih setiap tahun.
Kilang tersebut turut meraih pensijilan CVA GOLD di bawah Indeks Bangunan Hijau (GBI) serta menjalani Audit Tenaga bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan kecekapan.
Tambah Ramesh, pencapaian berganda ini sekali lagi membuktikan komitmen kumpulan itu dalam memperkukuh prestasi ESG dan mencipta impak positif jangka panjang kepada pemegang kepentingan serta kelestarian perniagaan. – UTUSAN










