AI kecilkan skop calon, HR lebih mudah tapis pemohon kerja

AI kecilkan skop calon, HR lebih mudah tapis pemohon kerja

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang dalam dunia pekerjaan, bukan sahaja dalam operasi syarikat tetapi turut mengubah cara anak muda mencari peluang kerjaya. 

Golongan graduan kini menjadikan AI sebagai pembantu peribadi untuk menyediakan resume, mengenal pasti peluang pekerjaan dan melatih diri menghadapi temu duga.

Bagi Muhd. Fakhri Husni Mohad, 24, yang kini bekerja sebagai kerani sekolah rendah, AI banyak membantunya menyesuaikan diri dalam proses mencari kerja sebaik sahaja menamatkan latihan industri.

Menurutnya, kecerdasan bua­tan banyak meringankan proses penyediaan resume dan menambah baik cara beliau menjawab temu duga.

“Saya mula guna AI semasa latihan industri sebab ia memudahkan saya mencari maklumat tentang kerja. Kebanyakan masa, saya gunakan ChatGPT dan LinkedIn.

“AI bantu betulkan resume, cari kerja dan beri panduan cara menjawab soalan semasa temuduga. Contohnya AI baiki ayat dalam resume supaya lebih kemas dan profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas lanjut, Fakhri berkata, perbandingan antara kaedah tradisional dan penggunaan AI turut menunjukkan perbezaan ketara dari segi kecekapan.

“Bezanya ialah AI memudahkan saya meneroka dunia kerja berbanding cari kerja cara biasa. Banyak benda yang saya tak tahu sebelum ini, AI bantu buka jalan. 

“Walaupun membantu,  Kadang-kadang AI tak memahami kehendak saya. Ada maklumat yang tak tepat atau tak sesuai dengan kerja yang saya cari,” ujarnya. 

Tambahnya, penggunaan AI juga memberi rasa bimbang terhadap perkembangan pesat teknologi tersebut.

“Mungkin agak merisaukan sebab dunia AI semakin canggih dari hari ke hari. Tapi saya rasa masa depan cari kerja akan bergantung pada AI sebab ia boleh cari segala maklumat berkaitan kerja yang sesuai untuk setiap orang,” tambahnya. 

Sementara itu, Eksekutif Kanan Sumber Manusia di syarikat swasta, Norfarahana Jasmin Hassan Basri berkata, penggunaan AI dalam kalangan pencari kerja sememangnya meningkatkan kualiti resume yang diterima pihak majikan.

Menurutnya, majoriti graduan kini menghantar resume yang lebih kemas, teratur dan profesional berbanding beberapa tahun lalu.

“Penggunaan AI membantu calon menghasilkan resume yang tersusun, kreatif dan sedap dibaca. AI juga membantu mereka menyusun ayat dengan lebih baik serta memastikan maklumat penting dimasukkan.

“AI turut memudahkan pro­ses saringan awal apabila digabungkan dengan Applicant Tracking System (ATS).

“Dengan ATS, kita boleh mengecilkan skop calon berdasarkan kemahiran dan pengalaman yang sepadan dengan keperluan jawatan. AI sangat memudahkan proses ini,” katanya. 

Namun begitu, katanya, masih terdapat kekurangan apabila calon terlalu bergantung kepada AI sehingga menghilangkan keaslian diri mereka.

“Kesilapan biasa ialah calon salin bulat-bulat ayat yang dihasilkan AI. Ayatnya terlalu umum, bombastik dan tidak mencerminkan pengalaman sebenar mereka.

“Contohnya, ada calon tulis bertanggungjawab dalam penganjuran acara besar tetapi langsung tidak jelaskan jenis acara, peranan sebenar atau hasil yang dicapai,” katanya.

Menurut Norfarahana, walaupun teknologi membantu mempercepatkan proses, terdapat aspek yang tetap memerlukan penilaian manusia.

“HR masih perlu menilai personaliti, sikap, profesionalisme, kemahiran interpersonal dan kemampuan berfikir secara kritikal. Itu semua tak boleh dianalisis AI,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pencari kerja supaya menggunakan AI sebagai alat bantu, bukan sebagai mesin yang menulis bagi pihak mereka.

“Pastikan maklumat dalam resume adalah benar dan dapat disahkan. Masukkan pengalaman sebenar, projek sebenar dan buat ia lebih spesifik. Yang penting, calon perlu faham segala maklumat dalam resume dan boleh jawab soalan temuduga tanpa skrip.

“Kebanyakan HR gunakan kaedah Fakta, Tingkah Laku & Kesan (FBI) dalam temu duga. Jadi jawapan anda perlu datang daripada pengalaman sebenar, bukan skrip AI,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Eksekutif Sumber Manusia (Pengambilan) sektor automotif, Mohamed Anas Mohamed Idrus, 31, turut berkongsi pengalaman menguruskan permohonan kerja yang semakin dipengaruhi penggunaan AI oleh calon.

“AI memudahkan kalau gaya bahasa tidak terlalu generik. Resume yang terlalu banyak point form atau terlalu panjang pun menyukarkan penilaian, kecuali untuk CV (Curriculum Vitae) tertentu,” jelasnya.

Menurutnya, trend pengambilan pekerja kini berubah dengan pantas, dipacu oleh kemunculan AI yang digunakan oleh ke­dua-dua calon dan majikan.

“Perubahan paling ketara ialah AI membantu calon menyediakan dokumen dengan hasil yang lebih kemas dan tersusun. Semakin baik arahan atau prompt yang digunakan, semakin tinggi peluang calon untuk menepati ke­perluan majikan.

“Namun begitu, apa yang benar-benar menentukan ialah sesi temu duga bersemuka. Penilaian secara langsung masih menjadi faktor paling penting untuk HR melihat personaliti, keyakinan dan ke­sesuaian calon dengan jawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×