Wawasan Dengkil, Nestcon bangunkan loji solar 70MW di Kedah

Wawasan Dengkil, Nestcon bangunkan loji solar 70MW di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan kerja tanah dan pembinaan kejuruteraan awam, Wawasan Dengkil Holdings Berhad (Wawasan Dengkil) akan membangunkan loji solar berskala besar berkapasiti 70 megawatt (MW) di Mukim Ayer Puteh, Kedah.

Anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Wawasan Dengkil Sdn. Bhd. (WDSB) telah menandatangani perjanjian pemegang saham bersama Nestcon Infra Sdn. Bhd. (Nestcon) dan WD Solar Kedah Sdn. Bhd. (JV Co) bagi melaksanakan pelaburan bersama dan pembangunan projek tersebut di bawah program LSS Petra 5+.

Bagi tujuan pelaksanaan usaha sama itu, JV Co ditubuhkan khusus untuk membangun, membiayai, membina, mengendali dan menyelenggara Projek LSS5+. 

Struktur pegangan saham ditetapkan pada 70 peratus oleh WDSB dan 30 peratus oleh Nestcon.

Projek itu akan dilaksanakan melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus membolehkan penjualan tenaga elektrik boleh baharu secara jangka panjang serta membuka aliran pendapatan berulang kepada kumpulan.

Sejajar perlaksanaan projek baharu itu, Wawasan Dengkil turut mencadangkan peluasan skop aktiviti teras kumpulan untuk merangkumi pelaburan dalam tenaga boleh baharu dan aktiviti berkaitan.

Pengarah Eksekutif Wawasan Dengkil, Lim Soon Yik berkata, langkah kepelbagaian itu membolehkan syarikat berevolusi daripada kontraktor berfokuskan pembinaan kepada pelabur dan pengendali aset tenaga boleh baharu.

“Langkah strategik ini menyokong agenda peralihan tenaga negara dan membolehkan Kumpulan membina pendapatan berulang seiring perniagaan infrastruktur teras kami. Penglibatan kami dalam banyak kerja tanah dan infrastruktur ladang solar sebelum ini memberi asas kukuh untuk peralihan ini,” katanya.

Tambah beliau, penekanan terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pertumbuhan berterusan industri tenaga boleh baharu menjadikan langkah tersebut tepat pada masanya. 

“Dengan memanfaatkan keupayaan serta rangkaian sedia ada dalam sektor pembinaan, Kumpulan dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk meneroka peluang baharu dalam pembangunan solar,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, sektor solar negara terus berkembang seiring sasaran kerajaan untuk mencapai 70 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh baharu menjelang 2050 di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR). 

“Sasaran itu memerlukan pertumbuhan ketara kapasiti solar, yang dijangka mencecah 59 gigawatt (GW) menjelang 2050.

“Kami melihat prospek jangka panjang yang kukuh dalam sektor ini, dan usaha sama ini memberi peluang bermakna kepada Wawasan Dengkil untuk menjadi sebahagian daripada pertumbuhan tersebut,” katanya.

Usaha sama dicadangkan dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2025 tertakluk kepada semua kelulusan berkaitan, manakala kepelbagaian perniagaan akan dilaksanakan serta-merta selepas mendapat kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan datang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN