UEM Group cadang SCR untuk UEM Edgenta, tawar RM1.10 sesaham

UEM Group cadang SCR untuk UEM Edgenta, tawar RM1.10 sesaham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Group Berhad (UEM Group) mencadangkan kepada UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), anak syarikat yang dimilikinya sebanyak 69.14 peratus, untuk melaksanakan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (Cadangan SCR) selaras Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

Di bawah Cadangan SCR itu, pemegang saham yang layak akan menerima RM1.10 tunai bagi setiap saham biasa yang dipegang.

Menurut UEM Group, tawaran harga RM1.10 setiap saham bagi baki 257 juta saham atau pegangan 30.86 peratus itu merangkumi premium 26.4 peratus.

“Ini berbanding harga saham dagangan terakhir UEM Edgenta iaitu 87 sen pada 27 November 2025 dan premium 38.5 peratus berbanding harga purata berwajaran volum enam bulan iaitu 79 sen. 

“Jumlah bayaran tunai keseluruhan bernilai RM282 juta,” katanya dalam kenyataan. 

UEM Group berkata, Cadangan SCR bertujuan memacu pertumbuhan dan mengukuhkan prospek jangka panjang syarikat.

“Meskipun kemajuan telah dicatat dalam usaha menstabilkan operasi teras dalam persekitaran pasca-pandemik yang mencabar, prestasi kewangan keseluruhan UEM Edgenta masih kurang memberangsangkan berbanding sebelum pandemik, antara lain akibat kenaikan kos operasi.

“Selain itu, Cadangan SCR menawarkan fleksibiliti lebih luas bagi UEM Edgenta dalam menetapkan hala tuju strategik, melaksanakan inisiatif strategik dan menguruskan perniagaan pelbagai segmen secara lebih berkesan.

“Ini akan meletakkan syarikat dalam kedudukan lebih baik untuk menguruskan sumber secara cekap, menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dan merintis model perniagaan lebih berkesan,” katanya.

Penerimaan dan rekomendasi berhubung Cadangan SCR berkenaan oleh Lembaga Pengarah UEM Edgenta kepada pemegang saham yang layak adalah terbuka sehingga 9 Januari 2026. 

Setelah Cadangan SCR ini dimuktamadkan, UEM Group akan menjadi pemegang saham tunggal dalam UEM Edgenta, sekaligus menjadikan UEM Edgenta sebagai anak syarikat milik penuh mereka.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN