PETALING JAYA: Titijaya Land Berhad (Titijaya) menghidupkan semula projek terbengkalai bagi menyediakan kemudahan asrama untuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu dengan membangunkan Blok B1 dan B2, Kolej Kediaman Pelajar UMS Numbak.
Inisiatif itu menandakan langkah penting ke arah mengurangkan kekurangan kediaman pelajar berkualiti yang berlarutan di UMS.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, inisiatif itu adalah melalui kerjasama dengan UMS, salah sebuah universiti awam terkemuka negara dengan lebih 18,000 pelajar.
“Dengan bekerjasama meningkatkan penyediaan kediaman pelajar berkualiti di Kota Kinabalu, kami selaras sepenuhnya dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam usaha memperkukuh standard pendidikan universiti awam di seluruh Malaysia.
“Kami melihat ini sebagai satu kerjasama awam-swasta yang memupuk sinergi antara peneraju industri, Kerajaan dan institusi pendidikan demi kepentingan sosial yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Pada Mei lalu, Titijaya mengumumkan cadangan pengambilalihan dua aset hartanah di Kota Kinabalu bernilai RM105 juta.
Kumpulan itu turut tampil sebagai ‘white knight’ bagi memulihkan pembangunan terbengkalai berkenaan dan komited menyiapkan kerja-kerja berbaki serta menyediakan kediaman yang selamat, selesa dan mampu milik kepada pelajar UMS.
“Kami berbangga kerana dipilih sebagai ‘white knight’ untuk menghidupkan semula projek ini, menjadikannya projek ketiga yang berjaya kami pulihkan di Sabah melibatkan pembangunan sakit atau terbengkalai.
“Menerusi inisiatif ini, kami berhasrat menangani kekurangan kediaman pelajar yang dihadapi UMS sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan menyediakan kemudahan yang selamat, selesa dan mudah diakses bagi membantu pelajar mencapai potensi terbaik mereka,” ujarnya.
Pada Sabtu, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir melawat tapak projek Blok B1 dan B2 sempena lawatan kerja rasmi, diiringi oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, JP, bersama barisan pengurusan kanan Titijaya. – UTUSAN










