PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATAMI) sebanyak RM31.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025, mengukuh sebanyak 47 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataannya, keputusan kewangan yang lebih kukuh disokong oleh harga produk sawit yang lebih tinggi serta kecekapan operasi yang berterusan di ladang dan kilang miliknya.
Bagi suku sama, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM259.6 juta, meningkat tiga peratus daripada RM252.0 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini dipacu oleh harga purata direalisasikan yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM), isirung sawit (PK) dan buah tandan segar (BTS), di samping peningkatan jumlah jualan PK dan BTS.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, THP merekodkan pertumbuhan 25 peratus PATAMI kepada RM56.2 juta, mencerminkan harga jualan yang lebih baik serta inisiatif pengurusan kos yang berterusan.
Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM658.7 juta, meningkat lapan peratus berbanding RM607.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Usaha berterusan dalam mekanisasi dan automasi telah membantu meningkatkan prestasi operasi.
“Peningkatan kompetensi modal insan dan kecekapan operasi kekal sebagai keutamaan kami dalam menangani kenaikan kos, terutamanya yang melibatkan pematuhan kepada keperluan gaji minimum dan caruman statutori bagi pekerja asing,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai prospek, THP berkata, harga MSM dijangka kekal mencabar dengan ketidaktentuan dan tekanan berterusan pada suku keempat, dipengaruhi oleh persaingan dalam permintaan global, ketidaktentuan geopolitik yang berterusan serta peningkatan pengeluaran.
“Dengan pengeluaran dijangka mencapai kemuncak pada suku keempat dan bekalan kukuh daripada minyak sayuran lain, khususnya minyak kacang soya, tekanan harga dijangka berterusan.
“Arah pasaran juga akan bergantung kepada kadar kemajuan program biodiesel Indonesia,” jelasnya. – UTUSAN









