Takaful Malaysia catat keuntungan RM468 juta

Takaful Malaysia catat keuntungan RM468 juta bagi tempoh sembilan bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM468 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 8 peratus berbanding RM435.2 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Prestasi kukuh itu turut dipacu pertumbuhan hasil apabila pendapatan takaful kumpulan melonjak kepada RM2.75 bilion, meningkat RM86.1 juta tahun ke tahun, hasil daripada pengembangan perniagaan yang lebih agresif merentas semua segmen teras.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nor Azman Zainal berkata, prestasi tersebut mengesahkan kedudukan Takaful Malaysia sebagai peneraju industri dengan disiplin operasi yang tinggi.

“Keputusan kewangan yang stabil ini mencerminkan ketahanan segmen perniagaan utama Kumpulan, terutamanya dalam sektor bankatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja serta takaful am.

“Selain itu, kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 18.5 sen sesaham, berjumlah RM161.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan.

Jumlah pembayaran dividen itu meningkat 8.8 peratus berbanding 17 sen setahun lalu, sekali gus mencerminkan kedudukan kesolvenan syarikat yang kukuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Takaful Malaysia turut berjaya melengkapkan terbitan sulung Sukuk Subordinat Tahap Kedua berjumlah RM500 juta dengan kadar keuntungan 3.83 peratus setahun. 

Proses pembinaan buku bagi sukuk itu mendapat sambutan luar biasa apabila jumlah pesanan melebihi RM2 bilion, iaitu empat kali ganda daripada langganan pelabur institusi dan pengurus aset.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kumpulan akan terus menumpukan kepada inovasi berteraskan pelanggan serta pemantapan keupayaan digital melalui platform Kaotim yang semakin mendapat sambutan.

“Kami yakin berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi baki tahun ini dengan tangkas, sekali gus menjana nilai jangka panjang yang mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN