KUALA LUMPUR: Shell Malaysia melancarkan aplikasi Shell Recharge, satu langkah baharu bagi memudahkan pengalaman pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara.
Pengurus Besar Mobiliti dan Kemudahan Shell Malaysia, Seow Lee Ming berkata, aplikasi mudah alih itu membolehkan pengguna mencari, menempah serta membuat pembayaran untuk pengecasan EV dengan lebih mudah, selamat dan pantas.
“Dengan aplikasi Shell Recharge, perjalanan pengguna EV lebih mudah dan menyeluruh. Ia bukan sekadar mempertingkat kemudahan, malah membina keyakinan pemandu untuk bergerak lebih jauh bersama Shell.
“Pelancaran aplikasi ini juga melengkapkan peluasan pengecasan berprestasi tinggi (HPC) Shell yang kini merentasi laluan Utara–Selatan dan Pantai Timur–Pantai Barat Semenanjung, termasuk hab pengecasan tertinggi di Genting Highlands,” katanya dalam majlis pelancaran aplikasi baharu itu, hari ini.
Antara ciri utama yang ditawarkan adalah fungsi tempah dan cas, kemas kini masa nyata bagi sesi pengecasan serta pilihan pembayaran pantas menggunakan kad debit atau kredit.
Pengguna juga boleh mencari pengecas terdekat melalui penjejak lokasi dalam aplikasi.
Sempena pelancaran, Shell menawarkan promosi RM1.11 per kilowatt sejam (kWh) di semua lokasi HPC pada hari ini, tertakluk terma dan syarat.
Menurutnya, harga pengecasan melalui aplikasi Shell Recharge adalah kompetitif dan sejajar dengan pelaburan besar membina rangkaian HPC di seluruh negara.
“Kami kini mempunyai lebih 160 titik pengecasan di Malaysia dan akan terus menambah bilangan ini mengikut permintaan. Sokongan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura juga telah disediakan dan usaha memperluaskan perkhidmatan ke Thailand sedang dijalankan,” katanya.
Tambahnya, stesen khusus EV seperti Genting EV Hub telah siap dibangunkan, manakala stesen lain menempatkan dua hingga lebih banyak tempat pengecasan bergantung pada lokasi.
Aplikasi Shell Recharge kini boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store.
Shell juga menggalakkan pengguna memindahkan baki kredit mereka dari aplikasi ParkEasy sebelum aplikasi baharu beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini. – UTUSAN










