PETALING JAYA: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), bersama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi Projek ECRL, mengumumkan bahawa penghantaran pertama yang merangkumi dua set Electric Multiple Units (EMU) dan dua lokomotif elektrik (E-Loco), bersedia untuk berlepas dari Pelabuhan Dalian, China.
Proses logistik dijangka mengambil masa kira-kira sebulan, dan penghantaran ini dijangka tiba di Pelabuhan Kuantan menjelang akhir Disember ini.
Set tren pertama EMU dan E-Loco telah diluluskan untuk penghantaran mengikut jadual selepas menjalani ujian komprehensif dan Laporan Ujian Penerimaan Kilang (FAT) yang baru baru ini diterima dan disahkan oleh MRL, selaku pemilik aset ECRL.
Dibina oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) yang berasaskan platform teknologi CR200J dan HXD3C yang terbukti, EMU dan lokomotif ini diubah suai mengikut iklim, keadaan muka bumi, serta keperluan penumpang di Malaysia.
Sembilan lagi EMU dijadualkan untuk dihantar pada tahun 2026, manakala baki 10 E-Loco akan dihantar secara berperingkat pada tahun yang sama. Rangkaian rel ini direka untuk kelajuan maksimum 160 km/j bagi tren penumpang dan 80 km/j bagi tren kargo.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata: “EMU dan E-Loco ECRL akan menjalani ujian menyeluruh termasuk Fault Free Run (FFR) sejauh 8,000 km yang akan dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum digunakan untuk operasi komersial pada Januari 2027.
“Ini akan membuka lembaran baharu dalam mempromosikan ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo di sepanjang 655km rangkaian rel elektrik.”

Darwis turut berkata bahawa penghantaran EMU dan E-Loco ECRL mencerminkan kerjasama kukuh dan dedikasi di semua peringkat Projek ECRL dan tenaga kerja CRRC Dalian, sekali gus memastikan standard tertinggi bagi sistem kereta api moden dan efisien untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar serta meningkatkan keterhubungan di Semenanjung Malaysia.
Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo, berkata: “Seiring dengan peralihan Projek ECRL ke fasa pengujian dan pentauliahan, EMU dan E-Loco ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan operasi yang selamat dan efisien. Kami komited untuk menyediakan sistem rel moden yang dapat meningkatkan kesalinghubungan serta menetapkan penanda aras baharu untuk Malaysia.”

Dilengkapi sistem atas tren yang canggih, EMU menampilkan sistem kawalan rangkaian tren dengan dual redundancy untuk pemantauan masa nyata terhadap sistem tarikan, voltan tinggi dan sistem sokongan.
Lokomotif elektrik pula dilengkapi antara muka manusia-mesin pintar (HMI) serta pemantauan keselamatan peringkat milisaat bagi sistem brek, perlindungan kebakaran dan penebat voltan tinggi.

EMU direka dengan mengambil kira keselesaan penumpang, menawarkan kabin kelas perniagaan dan ekonomi serta kemudahan untuk kerusi roda.
Ia turut menyediakan bilik solat bagi penumpang beragama Islam dengan tempat wuduk serta perkhidmatan penyediaan air panas untuk minuman.
Sistem Maklumat Penumpang (PIS) di dalam tren memberikan maklumat masa nyata mengenai jadual, laluan dan sebarang kelewatan bagi memastikan penumpang sentiasa dimaklumkan sepanjang perjalanan.
Reka bentuk luaran biru putih pula diinspirasikan daripada landskap pantai dan hidupan liar Malaysia serta memberikan identiti tersendiri ECRL terutamanya bagi komuniti Pantai Timur.
ECRL merupakan jajaran sepanjang 665 km merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dan direka bentuk untuk meningkatkan mobiliti penumpang dan kesalinghubungan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
Setakat akhir Oktober 2025, projek ini telah mencapai 89% kemajuan keseluruhan dan dijangka memulakan operasi pada Januari 2027.










