PETALING JAYA: Saham Petronas Chemicals Group Bhd jatuh ke paras terendah enam bulan, selepas sekali lagi melaporkan kerugian pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 pada minggu lalu.
Petronas Chemicals susut kepada RM2.90 sesaham pada pukul 2.35 petang, paras terendah sejak 9 April lalu pada RM2.80 sesaham, sebelum mengakhiri dagangan mendatar pada RM2.92 sesaham.
Syarikat mempunyai permodalan pasaran RM23.52 bilion ketika berita ditulis.
Penganalisis memberi amaran bahawa syarikat mungkin belum keluar dari masalah sepenuhnya, dan konsensus kini menjangkakan Petronas Chemicals akan terus mencatat kerugian bagi setahun penuh.
TA Securities berkata, kerugian bersih teras Petronas Chemicals bagi sembilan bulan tahun kewangan 2025 berjumlah RM11.0 juta adalah di bawah jangkaan, berbanding ramalan keuntungan bersih teras setahun penuhnya sebanyak RM750.4 juta dan anggaran konsensus RM536.7 juta.
Katanya, kerugian lebih tinggi ini disebabkan terutamanya oleh permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan, yang terlihat dalam jumlah jualan yang rendah serta penyebaran produk yang lemah berterusan, terutamanya dalam segmen olefin dan derivatif (O&D).
“Kami menurunkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2025, 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 93.0 peratus, 36.6 peratus dan 31.8 peratus, mencerminkan kelemahan O&D yang berterusan dan andaian permintaan yang lebih rendah.
“Susulan semakan keuntungan ini, kami telah menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.33 sesaham (sebelumnya: RM3.51 sesaham) dan mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan sektor petrokimia akan terus mencabar, berikutan usaha China meningkatkan kapasiti secara agresif, disertai dengan prospek permintaan yang kurang memberangsangkan dari sektor hiliran.
Saham PETRONAS Chemicals yang menghasilkan produk petrokimia seperti olefin, polimer, baja, dan metanol telah kehilangan kira-kira 39 peratus nilainya setakat tahun ini, berikutan kerugian berterusan dalam industri yang menghadapi lebihan bekalan dan permintaan lemah. – UTUSAN










