Rizab Antarabangsa Malaysia kekal stabil pada Oktober 2025

Rizab Antarabangsa Malaysia kekal stabil pada Oktober 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Oktober 2025 berjumlah AS$123.8 bilion, kekal stabil dan memadai untuk menampung keperluan ekonomi negara, menurut data terperinci yang disediakan mengikut Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, komponen utama rizab terdiri daripada rizab mata wang asing berjumlah AS$109.3 bilion, kedudukan Rizab IMF AS$1.3 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) AS$5.97 bilion, emas AS$4.76 bilion dan aset rizab lain AS$2.42 bilion. 

“Sementara itu, aset mata wang asing lain berjumlah AS$0.20 bilion.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing diunjurkan sebanyak AS$14.17 bilion, termasuk pembayaran balik pinjaman luar negeri kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM. 

“Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah AS$20.65 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. Unjuran aliran masuk mata wang asing pula berjumlah AS$2.77 bilion,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut BNM berkata, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$0.42 bilion. 

“Malaysia tidak mempunyai pinjaman opsyen atau kemudahan kredit tanpa syarat daripada bank pusat lain dan organisasi antarabangsa, manakala BNM tidak terlibat dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. 

Data SDDS menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Oktober 2025 tetap boleh guna dan berada dalam kedudukan stabil, selaras dengan pengurusan kewangan berhemah dan keyakinan pasaran terhadap kestabilan ekonomi negara.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN