KUALA LUMPUR: Ringgit terus menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku ketiga 2025 apabila mencatatkan pengukuhan berbanding mata wang kebanyakan rakan dagang utama Malaysia.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, menurut data terkini, kadar tukaran efektif nominal ringgit (NEER) meningkat sebanyak 0.8 peratus, manakala bagi tempoh sepanjang tahun sehingga 12 November 2025, pengukuhan mencecah 5.3 peratus.
“Ringgit juga kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dengan sedikit peningkatan 0.05 peratus sejak awal tahun sehingga 12 November tahun ini, 8.2 peratus.
“Pergerakan positif ini dipacu oleh gabungan faktor luaran dan domestik,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Ekonomi Suku Ketiga 2025 di Sasana Kijang, di sini semalam.
Di peringkat global, beliau berkata, keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed AS) melonggarkan dasar monetari pada September, diikuti jangkaan pemotongan kadar faedah yang lebih besar susulan kebimbangan terhadap prospek ekonomi AS telah meredakan tekanan terhadap mata wang pasaran serantau, termasuk ringgit.
“Selain itu, pengumuman perjanjian perdagangan baharu antara AS dan beberapa rakan dagangnya, termasuk Malaysia, telah mengurangkan ketidaktentuan berkaitan tarif serta meningkatkan sentimen pasaran, faktor yang turut menyokong pengukuhan ringgit.
“Di dalam negara, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif terus menjadi asas penting kepada kestabilan ringgit.
“Komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur domestik dan kelestarian fiskal turut meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.
Tambahnya, pihaknya komited memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi secara teratur, selaras dengan usaha mengekalkan kestabilan kewangan negara.
Selain itu, beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (FEC) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat November, dengan BNM menegaskan bahawa pendirian dasar semasa kekal sesuai dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran inflasi yang stabil.
“Kami menjangkakan permintaan domestik penduduk akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada 2026, manakala inflasi dijangka kekal sederhana sejajar dengan keadaan harga global yang lebih stabil.
“Pendirian dasar monetari pada masa ini adalah wajar dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dalam suasana kestabilan harga,” katanya.
Jelasnya, penurunan OPR pada Julai lalu sedang memberi kesan positif secara beransur kepada ekonomi dan dijangka memberi sokongan tambahan kepada pertumbuhan tahun hadapan.
“BNM, melalui Jawatankuasa Dasar Inflasi (IPC), akan terus memantau perkembangan terkini serta menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi domestik,” katanya. – UTUSAN










