PETALING JAYA: Ringgit terus mengukuh mencapai tahap tertinggi lebih 13 bulan, didorong oleh sentimen pasaran yang positif berikutan tekanan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) termasuk pada bon dan kemungkinan penurunan Rizab Persekutuan (Fed) pada Disember.
Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup pada 4.1290/1350 berbanding 4.1430/4.1470 pada Selasa. Mata wang tempatan turut didagangkan paling kukuh pada pukul 11.30 pagi iaitu pada 4.1110/1360.
Kadar tersebut paling tinggi dalam tempoh lebih 13 bulan apabila mata wang temparan ditutup pada 4.1190/4.1250 pada 30 September 2024.
Ringgit juga mengukuh berbanding mata wang serantau iaitu dengan dolar Singapura ditutup pada 3.1674/3.1732 semalam daripada 3.1789/3.1836 pada Selasa, baht Thailand pada 12.7105/12.7348 berbanding 12.7851/12.7348 manakala rupiah Indonesia mendatar pada 0.0247/0.0248 daripada 0.0248/0.0249.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran bon AS yang menghadapi tekanan jualan berikutan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS baru-baru ini menyebabkan aliran keluar dari pasaran saham tersebut.
Beliau mengunjurkan ringgit berada sekitar RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, dipacu tekanan turut meningkat dengan berkemungkinan satu lagi pemotongan kadar Fed pada Disember.
“Sentimen pasaran ini juga memberikan kesan kepada pasaran mata wang, menyebabkan nilai ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS dan juga mata wang negara jiran Asia Tenggara yang lain.
“Pengekalan Kadar Dasar Semalam (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) turut memberikan kesan positif untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia berbanding dengan pemotongan kadar faedah negara jiran yang lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, pengukuhan ringgit dipacu bukan sahaja oleh pertumbuhan ekonomi, tetapi juga kedatangan ramai pelancong asing ke Malaysia yang positf kepada mata wang negara.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula mengunjurkan ringgit berada sekitar RM4.10 hingga RM4.15 berbanding dolar AS hingga akhir tahun, didorong oleh oleh isu pembukaan perkhidmatan kerajaan AS tidak lama lagi.
“Dengan pembukaan ini, pihak Fed dijangka akan mula menilai data-data ekonomi yang akan diterbitkan terutamanya data pasaran pekerjaan. Justeru, ini akan memudahkan mereka untuk membuat keputusan mengurangkan kadar faedah pada bulan Disember nanti.
“Bila kadar faedah diturunkan, jurang antara OPR dan kadar faedah Fed akan dikecilkan. Perkara ini menjadikan potensi pulangan pelaburan dalam aset ringgit lebih kompetitif dan boleh menarik minat belian dalam kalangan para pelabur asing.
“Semuanya ini boleh menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit pada masa akan datang,” jelasnya. – UTUSAN










