PETALING JAYA: Proton dan Touch ‘n Go memperkenalkan kempen ‘Roar Forward, Ride Freedom’, memberi peluang kepada pemilik Proton X50 yang mengaktifkan RFID Touch ‘n Go sedia terpasang untuk menikmati tol percuma bernilai sehingga RM500 bagi tempoh tiga bulan.
Kempen yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember 2025 itu turut memberikan berpeluang kepada mereka memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000 menerusi pertandingan video di Tik Tok.
Kempen itu diadakan sebagai tanda penghargaan Proton terhadap sokongan padu daripada rakyat Malaysia yang telah menjadikan Proton X50 sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B paling laris di negara ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Proton dalam mempertingkatkan pengalaman pemilikan Proton X50.
“Berdasarkan maklum balas positif daripada pelanggan, kami mengambil langkah tambahan untuk menghargai pelanggan melalui kerjasama ini dengan Touch ‘n Go.
“Dengan menggabungkan teknologi inovatif dan manfaat praktikal, kami mahu setiap perjalanan menjadi lebih lancar serta memberi nilai tambah kepada pemilik kenderaan Proton,” katanya dalam kenyataan.
Untuk menyertai kempen itu, pembeli hanya perlu mengaktifkan RFID yang telah dipasang pada Proton X50 bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah.
Sebanyak 68 pemenang akan dipilih, di mana pembeli yang membuat pembelian pada November akan menerima ganjaran tol percuma dari Januari hingga Mac 2026, manakala pembeli Disember akan menerimanya dari Februari hingga April 2026.
Pemenang akan diumumkan menerusi siaran langsung di laman rasmi Facebook Proton dan rebat akan dikreditkan terus ke dalam eWallet Touch ‘n Go yang didaftarkan bersama RFID kenderaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd., Praba Sangarajoo berkata, kerjasama itu mencerminkan usaha bersama dalam menjadikan perjalanan harian lebih pintar, mudah dan berbaloi
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Proton dalam melaksanakan kempen ini yang bukan sahaja memberi ganjaran tetapi turut memperkayakan pengalaman pemilik X50.
“Touch ‘n Go sentiasa komited menyediakan pengalaman mobiliti yang lancar dan berhubung untuk rakyat Malaysia.,” ujarnya.
Kempen tersebut turut menampilkan dengan pertandingan video di TikTok yang terbuka kepada pemilik X50.
Melalui pertandingan ini, pemilik digalakkan berkongsi rakaman yang menampilkan gaya pemanduan atau pengalaman mereka bersama Proton X50.
Penyertaan dengan tanda #RoarForwardX50 dan tag @ProtonCarsOfficial berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000. Video menarik juga akan dipilih untuk dikongsi semula di laman digital Proton. – UTUSAN









