Presiden ANGKASA dipilih semula sebagai Naib Presiden ICA-AP

Presiden ANGKASA dipilih semula sebagai Naib Presiden ICA-AP

angkasa
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, sekali lagi  menerima kepercayaan negara-negara anggota Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik  (International Cooperative Alliance Asia and Pacific - ICA-AP) apabila dipilih semula sebagai Naib Presiden ICA-AP dalam sesi pemilihan Ahli Lembaga ICA-AP yang diadakan pada 27 November 2025 di Colombo, Sri Lanka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden ANGKASA yang juga Presiden ASEAN  Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, sekali lagi  menerima kepercayaan negara-negara anggota Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik  (International Cooperative Alliance Asia and Pacific – ICA-AP) apabila dipilih semula sebagai Naib  Presiden ICA-AP dalam sesi pemilihan Ahli Lembaga ICA-AP yang diadakan pada 27 November  2025 di Colombo, Sri Lanka.  

Pemilihan ini dibuat ketika Perhimpunan Serantau ICA-AP ke-17 yang menghimpunkan  kepimpinan koperasi dari seluruh Asia Pasifik, merangkumi lebih 30 buah negara sekali gus  menjadikannya antara platform koperasi terpenting di rantau ini.  

Pemilihan semula tersebut mengangkat pencapaian dan usaha konsisten beliau dalam  memperkukuh jaringan koperasi, mengembangkan perdagangan koperasi-ke-koperasi (C-to-C),  memperluas penyertaan belia dan wanita dalam gerakan koperasi serta memastikan koperasi  terus kekal sebagai model ekonomi yang berdaya tahan, adil dan inklusif.

Keyakinan yang  diberikan oleh negara-negara anggota mencerminkan penghormatan terhadap visi beliau serta  rekod pencapaian yang telah meletakkan Malaysia sebagai antara peneraju utama pembangunan  koperasi di peringkat Asia Pasifik.

Dengan mandat baharu ini, peranan Malaysia dalam  memperkukuh keutuhan ekonomi koperasi serantau akan terus diperkasa.  

Perhimpunan serantau di Colombo, Sri Lanka yang diadakan bersempena Tahun Koperasi  Antarabangsa 2025 turut menekankan tema ‘Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat  (Cooperatives Build a Better World)’. Sepanjang perhimpunan para delegasi menyertai pelbagai  sesi forum, bengkel tematik, pertemuan peringkat tinggi serta dialog strategik bersama kerajaan,  komuniti akademik dan organisasi antarabangsa.  

Isu-isu global seperti keselamatan makanan, transformasi digital koperasi, ekonomi hijau, sistem  kewangan koperasi, pembangunan belia, pemerkasaan komuniti dan kelestarian sosial menjadi  perbincangan utama bagi meningkatkan daya saing koperasi di seluruh rantau Asia Pasifik. 

Malaysia melalui ANGKASA memainkan peranan yang sangat aktif dalam platform ini, bukan  sahaja memperkenalkan model Perdagangan C-2-C Malaysia tetapi juga mempamerkan kejayaan  koperasi negara seperti koperasi pengguna, koperasi sekolah, koperasi kariah masjid, serta  pembangunan produk koperasi yang kini menjadi perhatian banyak negara anggota.  

Pelbagai sesi teknikal di persidangan tersebut turut menekankan kepentingan meluaskan  pelaburan mampan, pemerkasaan inovasi digital, penggunaan teknologi baharu dalam pertanian,  dan pembangunan sistem pembayaran rentas sempadan untuk memudahkan perdagangan  antarabangsa antara koperasi.  

Dalam kenyataan beliau selepas pemilihan tersebut, Abdul Fattah menzahirkan penghargaan kepada negara-negara anggota ICA-AP atas kepercayaan yang  diberikan sambil menegaskan bahawa pemilihan ini merupakan amanah besar untuk  mempertahankan kepentingan koperasi Malaysia di peringkat serantau. Beliau menegaskan  bahawa koperasi semakin relevan dalam era dunia yang berdepan cabaran ketidaktentuan  ekonomi dan jurang sosial.  

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini menyatakan setinggi penghargaan kepada kerajaan,  khususnya kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan  agensinya serta semua pihak yang menyokong segala usaha yang dimainkan ANGKASA dalam  memacu pertumbuhan gerakan koperasi baik di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.  

Selain pemilihan semula Presiden ANGKASA sebagai Naib Presiden ICA-AP, Malaysia turut  menerima dua lagi pengiktirafan antarabangsa penting melalui pemilihan semula tokoh utama  dalam kepimpinan ANGKASA ke dalam struktur kepimpinan Jawatankuasa ICA-AP. Timbalan  Presiden ANGKASA, YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dilantik  sebagai Pengerusi ICA-AP Committee on Agriculture & Environment (ICAE) dan dilantik semula  sebagai Naib Pengerusi, ICA-AP Committee on Consumer Cooperation.  

Naib Presiden ANGKASA, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa pula telah dilantik semula  sebagai Naib Pengerusi, ICA-AP Credit & Banking Committee, sebuah jawatankuasa yang  memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem kredit koperasi serantau.  

Dengan ketiga-tiga pelantikan ini Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh dalam  mempengaruhi hala tuju dasar koperasi serantau sekali gus membuka lebih banyak pintu kepada  kerjasama strategik, peluang perdagangan antarabangsa dan peningkatan kapasiti bagi koperasi  tempatan. ANGKASA melihat mandat ini sebagai peluang untuk memposisikan Malaysia sebagai  hab koperasi serantau dalam pelbagai sektor strategik.  

ANGKASA yakin mandat ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dan peluang  perdagangan rentas negara, sekali gus memberi manfaat besar kepada gerakan koperasi dan  jutaan anggota koperasi di seluruh Malaysia. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN