PETALING JAYA: Petronas, melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Energy Guyana Sdn. Bhd. (PEGSB) menandatangani Perjanjian Petroleum (PA) bagi Blok S4, yang terletak di kawasan perairan cetek luar pesisir Guyana, sekali gus memperluaskan lagi kehadirannya di rantau Benua Amerika.
Perjanjian tersebut telah dimeterai bersama Kerajaan Republik Koperatif Guyana bersama rakan kongsi konsortium TotalEnergies EP Guyana Shallow SAS (TotalEnergies) dan QatarEnergy (QatarEnergy).
Naib Presiden Penerokaan Petronas, Faisal Bakar berkata, penyertaan mereka di Lembangan Guyana-Suriname menandakan satu bab penting dalam perjalanan pertumbuhan antarabangsa Petronas.
“Dipandu oleh pendekatan yang berdisiplin dalam memperluas kehadiran global, kami komited merealisasikan potensi lembangan ini yang telah terbukti produktif serta membina nilai yang berkekalan untuk para pemegang kepentingan.
“Kerjasama dengan TotalEnergies dan QatarEnergy ini turut mengukuhkan aspirasi bersama kami untuk membangunkan sektor huluan yang berdaya tahan dan progresif,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, penganugerahan PA berkenaan merupakan susulan daripada kejayaan bidaan konsortium tersebut dalam Pusingan Bidaan Lesen Guyana 2022.
Ia merupakan pencapaian penting dalam usaha pengembangan Petronas di Lembangan Guyana-Suriname, yang diiktiraf di peringkat global sebagai salah satu sempadan baharu penerokaan sumber tenaga.
Blok S4 meliputi kawasan seluas kira-kira 1,787 kilometer persegi dan terletak secara strategik di sepanjang laluan migrasi hidrokarbon yang berpotensi tinggi.
Di bawah perjanjian ini, Petronas memegang 25 peratus kepentingan penyertaan, manakala QatarEnergy memegang 35 peratus dan TotalEnergies dengan 40 peratus akan bertindak sebagai pengendali Blok S4. – UTUSAN










