PETALING JAYA: Sentimen perniagaan keseluruhan dijangka bertambah baik secara signifikan pada suku keempat 2025, seperti yang ditunjukkan oleh Petunjuk Keyakinan (CI) yang kukuh sebanyak 6.2 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Tahun Keempat 2025.
Penerbitan ini memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi tiga dan enam bulan yang akan datang dan statistik ini adalah berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan pada suku keempat 2025, disokong oleh petunjuk keyakinan yang positif, yang mencerminkan optimisme merentasi sektor utama berbanding suku sebelumnya.
Katanya, sektor perkhidmatan kekal menunjukkan keyakinan yang tinggi dengan mencatatkan CI sebanyak 10.0 peratus dalam kalangan semua sektor yang disurvei, peningkatan ketara berbanding 1.5 peratus pada suku ketiga 2025.
“Peningkatan sentimen ini didorong oleh subsektor insurans (41.1 peratus), pendidikan (25.6 peratus) dan kesihatan (22.8 peratus).
“Begitu juga, sektor industri menunjukkan jangkaan yang terus kukuh dengan merekodkan CI sebanyak 5.8 peratus, meningkat daripada 2.2 peratus pada suku sebelumnya, disokong terutamanya oleh subsektor elektrik & air (22.1 peratus) dan pertanian (19.0 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata, sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan pemulihan yang ketara, dengan CI meningkat kepada 3.5 peratus pada suku keempat 2025, berbanding -7.3 peratus pada suku sebelumnya.
Menurutnya, hanya sektor pembinaan terus mencatatkan sentimen pesimis, dengan CI sebanyak -1.2 peratus, namun ini menunjukkan prospek yang lebih baik berbanding -2.0 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
“Pada suku keempat 2025, CI perniagaan peringkat negeri menunjukkan corak bercampur, dengan beberapa negeri mencatatkan peningkatan keyakinan yang ketara seperti yang diperhatikan di Johor (8.7 peratus), Kedah (4.2 peratus), Kelantan (10.4 peratus) dam Negeri Sembilan (4.7 peratus).
“Turut meningkat adalah Pahang (2.9 peratus), Selangor (8.0 peratus), Terengganu (7.3 peratus), Sabah (0.9 peratus), Sarawak (5.3 peratus), Kuala Lumpur (7.0 peratus), Labuan (0.2 peratus) dan Putrajaya (3.8 peratus).
“Sementara itu, Melaka (-6.0 peratus), Pulau Pinang (-0.7 peratus), Perak (-1.4peratus) dan Perlis (-0.5 peratus) menunjukkan pesimisme, menggambarkan bahawa walaupun terdapat peningkatan keyakinan di banyak negeri, beberapa negeri lain terus berhadapan cabaran yang menekan prospek perniagaan mereka,” jelasnya.
Melihat ke hadapan bagi tempoh enam bulan (Oktober 2025 – Mac 2026), Mohd. Uzir berkata, prospek perniagaan keseluruhan mempamerkan sentimen positif, mencatatkan imbangan bersih sebanyak 12.0 peratus berbanding 9.9 peratus pada separuh tahun sebelumnya. – UTUSAN










