PETALING JAYA: Jumlah perdagangan bernilai RM277.6 bilion pada Oktober 2025 dengan eksport sebanyak RM148.3 bilion dan import RM129.3 bilion, menurut , menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport negara meningkat RM20.1 bilion atau +15.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Lonjakan ini didorong oleh peningkatan eksport di beberapa negeri, antaranya Pulau Pinang (+RM15.0 bilion), Johor (+RM6.8 bilion), Perak (+RM690.0 juta), Terengganu (+RM405.9 juta), Melaka (+RM160.9 juta) dan Kelantan (+RM111.1 juta).
“Namun begitu, eksport menurun di beberapa negeri seperti Pahang (-RM722.8 juta), Kedah (-RM632.3 juta), W.P. Kuala Lumpur (-RM618.6 juta), Sabah (-RM215.7 juta), Sarawak (-RM172.3 juta), W.P. Labuan (-RM159.6 juta), Selangor (-RM144.7 juta), Negeri Sembilan (-RM80.9 juta) dan Perlis (-RM9.6 juta),” katanya dalam kenyataan.
Pulau Pinang terus menjadi penyumbang utama eksport negara dengan 40.0 peratus, diikuti Johor (20.9 peratus), Selangor (16.5 peratus), Sarawak (6.2 peratus) dan W.P. Kuala Lumpur (3.4 peratus).
Mohd. Uzir turut menyatakan nilai import meningkat RM13.1 bilion atau +11.2 peratus berbanding Oktober 2024.
Peningkatan dicatatkan di negeri-negeri berikut iaitu Pulau Pinang (+RM7.2 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM3.8 bilion), Johor (+RM3.3 bilion), Selangor (+RM1.9 bilion), Perak (+RM478.7 juta), W.P. Labuan (+RM133.4 juta), Sabah (+RM128.1 juta), Pahang (+RM97.1 juta) dan Terengganu (+RM44.6 juta).
“Sebaliknya, import menurun di Kedah (-RM2.3 bilion), Melaka (-RM840 juta), Negeri Sembilan (-RM513.9 juta), Sarawak (-RM318.8 juta), Kelantan (-RM37.8 juta) dan Perlis (-RM3.5 juta). Pulau Pinang kekal peneraju import dengan 27.6 peratus, diikuti Selangor (24.2 peratus), Johor (22.4 peratus), W.P. Kuala Lumpur (9.9 peratus) dan Kedah (5.3 peratus),” katanya.-UTUSAN










