PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli negara mencatatkan penurunan ketara sebanyak 14.8 peratus pada September 2025, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pengeluaran getah asli pada bulan berkenaan ialah 26,647 tan metrik, berbanding 31,285 tan metrik yang direkodkan pada Ogos 2025.
“Secara perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran juga menunjukkan penurunan sebanyak 16.3 peratus berbanding September 2024 yang mencatatkan 31,847 tan metrik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sektor pekebun kecil kekal menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran getah asli dengan sumbangan sebanyak 85.2 peratus, manakala sektor estet menyumbang 14.8 peratus.
Katanya, jumlah stok getah asli negara mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 1.7 peratus, meningkat kepada 159,629 tan metrik pada September 2025 berbanding 158,157 tan metrik pada Ogos 2025.
“Kilang memproses getah terus menjadi penyumbang utama kepada stok akhir dengan 81.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Dari segi eksport, jumlah eksport getah asli Malaysia menurun 15.1 peratus, mencatatkan 33,548 tan metrik pada September 2025 berbanding 39,517 tan metrik pada bulan sebelumnya,” katanya.
Tambahnya, China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli Malaysia, menyumbang 44.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport bulan tersebut.
“Eksport didorong oleh produk berasaskan getah asli, terutamanya sarung tangan getah yang kekal sebagai produk eksport utama bernilai RM1.1 bilion, walaupun nilainya menurun 8.2 peratus berbanding RM1.2 bilion pada Ogos 2025,” katanya.
Sementara itu, lateks pekat mencatatkan peningkatan 1.5 peratus kepada 577.89 sen sekilogram berbanding 569.48 sen sekilogram pada Ogos 2025, manakala sekerap meningkat 1.7 peratus kepada 604.53 sen sekilogram berbanding 594.18 sen sekilogram sebelumnya.
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) turut meningkat antara 1.4 peratus hingga 2.1 peratus. – UTUSAN










