PETALING JAYA: Pemegang saham KNM Group Berhad (KNM) sebulat suara meluluskan cadangan penjualan Deutsche KNM GmbH (DKNM) kepada NGK Insulators Ltd. dari Jepun, sekali gus menandakan detik penting dalam usaha pemulihan dan penstrukturan semula syarikat itu.
Dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan hari ini, sebanyak 93.74 peratus pemegang saham hadir mengundi menyokong resolusi tersebut, mencerminkan keyakinan tinggi terhadap hala tuju dan rancangan pemulihan kumpulan berkenaan.
Penjualan DKNM Group pada nilai €270 juta (RM1.3 bilion) dijangka memperkukuh kedudukan kewangan KNM dengan mengurangkan beban hutang serta menyediakan modal kerja yang diperlukan bagi menggiatkan semula operasi di Malaysia.
Pengerusi KNM, Tunku Datuk Yaacob Khyra, menyifatkan keputusan itu sebagai langkah besar ke arah pemulihan menyeluruh kumpulan.
“Kejayaan menyempurnakan penjualan DKNM kepada NGK merupakan satu pencapaian besar dalam usaha mengembalikan kegemilangan KNM Group. Sokongan padu daripada pemegang saham hari ini adalah faktor penting bagi memuktamadkan urus niaga ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KNM, Ravindrasingham Balasingham, turut merakamkan penghargaan kepada para pemegang saham atas kepercayaan berterusan terhadap pengurusan syarikat.
“Kelulusan ini menandakan langkah penting dalam memulihkan kedudukan kewangan KNM dan membuka jalan ke arah pertumbuhan mampan. Kami amat menghargai keyakinan semua pemegang saham serta sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan sepanjang proses pemulihan ini,” katanya.
Sebagai langkah ketelusan, KNM turut menjemput Minority Shareholders Watch Group (MSWG) untuk berinteraksi secara langsung dengan pemegang saham minoriti yang hadir, di mana semua persoalan telah dijawab dengan jelas oleh Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan. – UTUSAN










