KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) yang dikemas kini bakal menjadi pemacu utama dalam memperkukuh pembangunan pasaran modal serantau ke arah pertumbuhan mampan, berdaya tahan dan inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan tersebut bersama Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan, mencerminkan komitmen bersama negara anggota ASEAN terhadap piawaian kemampanan global dan meletakkan rantau ini sebagai destinasi pelaburan bertanggungjawab jangka panjang.
Katanya, pelan yang dikemas kini itu menandakan langkah penting dalam menyelaras hala tuju pasaran modal ASEAN dengan jangkaan antarabangsa, selain memperkukuh asas integriti, akauntabiliti dan kepercayaan.
“Pelan Tindakan ACMF yang dikemas kini serta Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan mencerminkan komitmen bersama kita terhadap piawaian kemampanan yang berwibawa, sejajar dengan jangkaan global dan meletakkan ASEAN sebagai destinasi pelaburan bertanggungjawab untuk jangka panjang.
“Kita mesti memastikan modal disalurkan kepada sektor produktif, memperkasa perniagaan kecil, mempercepatkan peralihan iklim dan mengukuhkan daya ketahanan ekonomi,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2025 di Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bukit Kiara di sini hari ini.
Teks ucaptama beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, sistem kewangan ASEAN perlu memenuhi keperluan sebenar rakyat dengan menyalurkan sumber kepada industri yang mampu menjana pekerjaan berkualiti, memperluas peluang ekonomi dan memupuk inovasi dalam masyarakat.
Menurutnya, pelabur kini semakin menuntut ketelusan, amalan beretika dan penjajaran dengan prinsip kemampanan dan memenuhi jangkaan ini bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mutlak untuk mengekalkan keyakinan pelabur terhadap pasaran serantau.
“Dengan menegakkan keadilan, ketelusan dan tadbir urus yang baik, ASEAN dapat menarik modal berkualiti tinggi serta memperkukuh kepercayaan awam terhadap sistem kewangan serantau,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, bawah Pengerusian Malaysia bagi ASEAN, ACMF telah memajukan beberapa inisiatif utama yang menumpukan kepada peningkatan aspek kemampanan dan keterangkuman.
Jelasnya, usaha ini mencerminkan komitmen bersama pengawal selia negara anggota dan pihak berkepentingan utama untuk membangunkan pasaran modal serantau yang mampu menjana nilai jangka panjang.
“Teras kepada inisiatif ini ialah aspirasi ASEAN untuk membentuk ekonomi yang mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan Versi 4 yang terbaharu turut merangkumi pengelasan aktiviti mampan dan peralihan bagi memberi tumpuan tambahan kepada sektor utama dan sektor pemangkin.
“Taksonomi ini bukan sahaja meningkatkan tahap ketelusan dan kebolehbandingan, malah menjadikan ASEAN destinasi yang lebih menarik bagi aliran modal yang mencari pelaburan berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berwibawa,” jelasnya. – UTUSAN










