PETALING JAYA: Pelabur asing kembali menjual ekuiti domestik bernilai RM1.03 bilion pada minggu lalu, selepas membeli bersih pada minggu sebelumnya, kata MBSB Investment Bank Berhad.
Bank pelaburan berkata, Bursa Malaysia menyaksikan jualan bersih asing setiap hari kecuali Isnin dengan belian sebanyak RM17.6 juta.
Kataya, Selasa mencatatkan aliran keluar terbesar sebanyak RM458.5 juta diikuti oleh Jumaat (RM377.7 juta), Rabu (RM204.1 juta) dan Khamis (RM11.1 juta).
“Dua sektor sahaja yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lalu ialah perladangan (RM148.4 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM79.6 juta).
“Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah produk & perkhidmatan perindustrian (RM377.2 juta), utiliti (RM254.4 juta) serta telekomunikasi dan media (RM106.3 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 21 November 2025.
MBSB Investment Bank berkata, institusi tempatan menjadi pembeli bersih pada RM1.01 bilion selepas mencatatkan jualan bersih RM318.0 juta di Bursa Malaysia pada minggu sebelumnya.
“Peruncit tempatan menjadi pembeli bersih pada harga RM28.1 juta selepas dua minggu berturut-turut jualan bersih.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah bercampur-campur dengan peruncit tempatan mencatatkan penurunan 0.3 peratus, manakala institusi tempatan dan pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus dan 16.8 peratus,” ujarnya. – UTUSAN










