Panduan tarif untuk peniaga 

Panduan tarif untuk peniaga 

TUJUAN utama tarif adalah melindungi industri tempatan daripada persaingan luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIF ialah cukai atau duti yang dikenakan oleh kerajaan terhadap barangan yang diimport atau dieksport.

Tujuan utama tarif adalah melindungi industri tempatan daripada persaingan luar, menjana hasil kerajaan dan mengawal imbangan perdagangan negara.

Terdapat empat jenis tarif utama yang dikenakan ke atas barangan dagangan di Malaysia bagi tujuan kawalan perdagangan, perlindungan industri tempatan serta penjanaan hasil negara.

Menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), tarif tersebut terdiri daripada duti import, duti eksport, duti eksais dan cukai jualan (SST).

Duti import merujuk kepada cukai yang dikenakan ke atas barangan yang dibawa masuk ke Malaysia, manakala duti eksport pula melibatkan cukai ke atas barangan yang dieksport ke luar negara, khususnya bagi komoditi seperti minyak sawit, getah dan mineral.

Sementara itu, duti eksais ialah cukai yang dikenakan ke atas barangan tempatan atau import yang mempunyai kesan sosial atau alam sekitar, termasuk rokok, minuman keras dan kenderaan bermotor.

Dalam masa yang sama, Cukai Jualan (SST) pula dikenakan ke atas pengilang tempatan serta barangan import yang dijual di pasaran domestik, sebagai sebahagian daripada sistem percukaian tidak langsung negara.

Langkah mengenakan pelbagai bentuk tarif ini bertujuan memastikan struktur perdagangan Malaysia kekal seimbang, di samping melindungi kepentingan industri strategik dan mengekalkan daya saing ekonomi nasional.

Cara semak tarif barangan

Peniaga boleh menyemak kadar tarif rasmi melalui Sistem Tarif Kastam Malaysia (HS Code) di portal rasmi: https://tariff.customs.gov.my

Caranya masukkan nama produk atau kod HS (Harmonised System). Lihat kadar duti import/eksport dan syarat khas (contohnya di FTA).

Kelebihan tarif keutamaan

Malaysia mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara tertentu (contohnya ASEAN, China, Jepun, Amerika Syarikat), peniaga boleh menikmati pengecualian atau pengurangan tarif dengan syarat seperti produk memenuhi syarat ‘Rules of Origin’ (ROO) dan peniaga mengemukakan sijil asal semasa eksport atau import.

Langkah penting untuk peniaga kenal pasti kod HS produk anda (boleh rujuk Kastam). 

Antaranya semak kadar tarif import/eksport mengikut negara destinasi, sediakan dokumen lengkap (invois, senarai barangan, borang kastam, sijil asal), gunakan FTA untuk menikmati pengecualian tarif jika layak.

Selain itu, rancang harga dan margin jualan dengan mengambil kira kadar tarif semasa.

Bantuan dan rujukan

Peniaga boleh mendapatkan maklumat dan panduan lanjut daripada JKDM di https://www.customs.gov.my.

Selain itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di https://www.matrade.gov.my dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai maklumat FTA dan peraturan perdagangan.

Pembungkusan dan pelabelan

Peniaga dan pengeksport tempatan diingatkan supaya mengekalkan standard kualiti, pembungkusan dan pelabelan yang menepati piawaian pasaran AS bagi mengelakkan produk mereka berdepan sekatan bukan tarif ketika memasuki pasaran tersebut.

Sekatan bukan tarif merujuk kepada halangan perdagangan yang tidak melibatkan cukai atau duti import, tetapi berbentuk peraturan teknikal, piawaian keselamatan, keperluan kesihatan, serta keperluan pelabelan dan dokumentasi yang ketat.

Dalam konteks ini, peniaga perlu memastikan setiap produk mematuhi spesifikasi kualiti dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa AS, termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) bagi produk makanan dan kosmetik, serta Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna (CPSC) bagi barangan elektrik dan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN