Nilai transaksi pasaran hartanah RM64.39 bilion pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Nilai transaksi pasaran hartanah RM64.39 bilion pada suku ketiga

NILAI transaksi pasaran hartanah meningkat pada suku ketiga, sekali gus menunjukkan pasaran hartanah kekal stabil. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran hartanah negara mencatatkan 108,250 transaksi bagi suku ketiga 2025 dengan nilai RM64.39 bilion sekali gus merekodkan peningkatan 12.5 peratus nilai keseluruhan.

Ini menandakan permintaan kekal stabil terutama dalam lingkungan harga mampu milik dan bagi tempoh tersebut, sektor kediaman terus mendominasi pasaran, merangkumi 60 peratus jumlah transaksi, iaitu lebih 66,000 unit bernilai hampir RM29 bilion.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr. Abdul Razak Yusak berkata, aktiviti pasaran menunjukkan momentum pertumbuhan yang sederhana, berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global yang kian mencabar.

“Walaupun trajektori aktiviti pembinaan mula perlahan, peningkatan bilangan kediaman siap dibina dilihat mengimbangi kestabilan pasaran hartanah pada suku ketiga tahun ini.

“Pembeli mempunyai lebih banyak pilihan terutamanya bagi memiliki rumah pertama masing-masing.

“Sebagai tambahan, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus membantu meningkatkan kemampuan kewangan pembeli sekaligus merancakkan semula pasaran hartanah negara terutamanya segmen hartanah kediaman,” katanya dalam kenyataan.

Melalui pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman yang dibuat antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 bagi kediaman bernilai RM500,000 hingga RM750,000 dan Skim Step Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) merupakan jaminan Kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama.

Sementara itu, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) menunjukkan pertumbuhan tahunan 0.1 peratus berada pada paras 229.1 mata dengan harga purata rumah merekodkan RM494,384 seunit.

“Prestasi aktiviti pembinaan bagi hartanah kediaman bercampur-campur apabila kediaman siap dibina menunjukkan pertumbuhan positif, manakala mula dibina dan penawaran baharu dirancang mula merekodkan penurunan.

“Segmen pelancaran baharu kediaman, menunjukkan prestasi sederhana, menyusut kepada 11,533 unit, dengan prestasi jualan 14.0 peratus, mencerminkan sentimen berhati-hati di kalangan pemaju,” katanya.

Abdul Razak berkata, prestasi kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan momentum sebaliknya.

“Unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan peningkatan kepada 28,672 unit bernilai RM17.25 bilion, naik 6.5 peratus dan 4.9 peratus dalam bilangan dan nilai berbanding tempoh sebelumnya suku kedua 2025: 26,911 unit bernilai RM16.44 bilion.

“Di segmen unit pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual turut merekodkan peningkatan pada suku ketiga 2025.

“Bilangan dan nilai unit siap dibina tidak terjual masing-masing menokok 0.1 peratus dan 0.4 peratus kepada 17,892 unit bernilai RM14.48 bilion, berbanding suku kedua 2025 17,883 unit bernilai RM14.43 bilion,” katanya.

Selain itu, prestasi penghunian kompleks perniagaan meningkat dengan kadar penghunian berada pada 78.6 peratus berbanding 77.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Segmen pejabat binaan khas milik persendirian pula kekal stabil dengan kadar penghunian mencatat 71.9 peratus berbanding 71.6 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN