PETALING JAYA: MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR DIY) telah melaksanakan langkah pembersihan rangkaian dengan menutup 19 cawangan yang mencatatkan prestasi ‘kurang memuaskan’ dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin berkata, langkah itu menandakan peralihan strategi syarikat daripada pengembangan agresif kepada fokus yang lebih ketat untuk meningkatkan keuntungan.
Jelasnya, penutupan terbabit membabitkan kedai berprestasi rendah dan oleh itu hanya memberi kesan minimum kepada pendapatan keseluruhan sambil meningkatkan kecekapan jangka panjang kumpulan.
“Seiring dengan tumpuan kepada disiplin modal, MR DIY juga menyemak semula sasaran pembukaan kedai bagi tahun kewangan 2025 kepada 185 cawangan berbanding 190 cawangan sebelum ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Langkah itu, menurut Lik Hsin, membawa kepada penambahan bersih sebanyak 166 cawangan, menjadikan anggaran keseluruhan 1,605 kedai menjelang akhir 2025.
Bagi tahun kewangan 2026, kumpulan merancang untuk membuka sehingga 155 kedai, yang mencerminkan pendekatan pengembangan yang berdisiplin di tengah-tengah sentimen pengguna yang lemah serta trend pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) yang negatif.
“MR DIY juga sedang memperhalus strategi pemilihan lokasi dengan memberi keutamaan kepada kedai berkonsep besar ‘MR.DIY PLUS’.
“Kedai berkonsep besar ini menggabungkan pelbagai jenama di bawah satu bumbung bagi meningkatkan daya tarikan pengguna, kecekapan produktiviti serta pendapatan bagi setiap kedai,” katanya.
Tambahnya, walaupun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar, MR DIY berjaya mencatatkan keuntungan bersih yang melonjak sebanyak 11.9 peratus kepada RM136.1 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 September 2025 daripada RM121.65 juta pada tempoh sama tahun lalu.
“Perolehan bagi suku ketiga juga meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM1.20 bilion daripada RM1.14 bilion sebelumnya.
“Prestasi ini dipacu terutamanya daripada sumbangan pembukaan kedai baharu, namun sebahagiannya diimbangi oleh penurunan jualan kedai yang sama (SSSG) berikutan persekitaran pasaran yang mencabar selain penyesuaian dasar yang berterusan susulan penarikan balik subsidi,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Lik Hsin berkata, perniagaan KKV Supplier Chain Sdn Bhd, yang mana MR DIY memiliki 49 peratus pegangan, masih mencatatkan kerugian bagi suku kedua berturut-turut dalam suku ketiga 2025. Hal ini disebabkan oleh kos permulaan dan ketidakcekapan pada peringkat awal operasi.
Namun, menurutnya MR DIY yakin prestasi akan pulih apabila skala operasi meningkat.
“Dengan 19 kedai KKV kini beroperasi dan rancangan untuk mencapai 25 cawangan menjelang akhir 2025, kami menjangkakan keuntungan akan bertambah baik apabila kos tetap dapat diserap dan kesedaran jenama semakin kukuh,” jelasnya.
Sementara itu, program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah dilaksanakan di 125 cawangan MR DIY dengan rancangan untuk mengembangkan penyertaan kepada 300 kedai menjelang suku pertama tahun hadapan.
“Walaupun sumbangan hasil masih kecil, ia dijangka akan meningkat seiring dengan pertambahan bilangan kedai yang mengambil bahagian,” tambahnya. – UTUSAN










