MAZDA memang satu syarikat yang unik dan kerana itu ia mempunyai peminat fanatik mereka yang tersendiri.
Ada yang gilakan pengendalian kenderaan Mazda dan ada yang sukakan keringkasan dan kualiti produk jenama dari Hiroshima itu.
Namun begitu, ada produk Mazda yang mungkin akan hanya menarik minat segelintir kecil dari kelompok penyokong mereka sendiri kerana faktor yang bercanggah, contohnya model CX80 ini.
CX80 dilancarkan ke dunia tahun lalu dan ia sebenarnya model yang berkongsi banyak komponen dengan CX60, cuma CX80 lebih panjang dan mempunyai enam atau tujuh tempat duduk.
Anggapkan ia seperti CX5 dan CX8, bentuk yang sama, cuma satu pendek, satu panjang.
Tidak seperti CX8, model CX80 ini mempunyai jarak roda yang lebih panjang, tetapi masih pendek dari CX9.
Pelantar teknikal yang digunakan oleh Mazda untuk CX80 ini ialah SkyActiv Multi Solution Scalable Platform, yang sebenarnya dibuat untuk kenderaan saiz besar dan juga untuk kenderaan pacuan roda belakang (RWD).
Platform itu juga punca di mana enjin CX80 ini diletakkan menegak dan bukan melintang kerana ia memberi lebih fokus kepada pacuan untuk roda di belakang.

Enjin 2.5 liter empat silinder tanpa turbo ini menghasilkan 191 PS dan 261 Nm, digabungkan dengan motor elektrik dengan 172 hp dan 270 Nm. Gabungan kedua trenkuasa ini menghamburkan 323 hp dan 500 Nm , melalui keempat-empat roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan.
Kelajuan maksimum ialah 195 kilometer sejam (km/j) dan pecutan 0 hingga 100 km/j mampu dilakukan dalam 6.8 saat.
Bateri kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) yang diletakkan di bawah tempat letak barang itu ialah dari jenis lithium ion bersaiz 17.8 kilowatt sejam (kWh). Ia membenarkan pemanduan kenderaan elektrik (EV) sejati sejauh 65 kilometer (km) NEDC sementara pengecaj terbina (OBC) hanya dari jenis AC dengan 7.2 kWh, membolehkan caj penuh tercapai dalam masa 2.5 jam.
Ruang dalam memang sama dengan CX60 iaitu masih sama konsep tetapi jauh lebih cantik, terutama dengan skrin 12.3 inci di ruang tengah yang menghasilkan warna-warna terang dan garang.
Sayangnya, Mazda degil dengan konsep tanpa fungsi skrin sentuh, bermakna semua kawalan perlu dilakukan menerusi tombol rotari ala i-Drive. Ini ternyata tidak begitu sesuai untuk aplikasi seperti Waze dan Google Map yang direka untuk skrin sentuh.

Sistem audio dari Bose, lengkap dengan 12 pembesar suara untuk menghasilkan bunyi yang mantap. Selain dari itu, kelengkapan seperti pengecas nirwayar dan port USB-C serta pendingin hawa multi-zone membuatkan ia jauh lebih premium dari CX9 sendiri.
Ruang barisan ketiga memang mirip CX8 iaitu ia boleh memuatkan dua dewasa bersaiz sederhana, tetapi sebenarnya lebih sesuai untuk kanak-kanak.
Ia mempunyai kitaran udara yang baik untuk menyejukkan penumpang di belakang tetapi jika keselesaan ialah apa yang anda mahukan, lebih baik anda membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Ruang but juga lebih kurang sama seperti CX8, bermakna untuk keluarga berenam, kotak bumbung ialah pilihan terbaik untuk tambahan kargo.
Talaan CX8 ialah lebih kepada pemanduan yang selesa. Ia bermakna olahan pegas gegelung yang lembut yang enggan bekerjasama dengan baik ketika selekoh tajam diambil dengan kelajuan agresif.
Untuk CX80, ia nampaknya menggunakan talaan yang berbeza kerana ia mampu dipandu laju di laluan berliku.
Roda hadapan sebenarnya dikuasakan oleh motor elektrik sementara tenaga dari enjin khusus untuk memacu roda belakang memberikan cengkaman pada kedua-dua gandar bila diperlukan.
Sistem gantungan hadapan pula bukannya dari jenis topang MacPherson seperti kenderaan kebanyakan, tetapi dari jenis ‘double wishbone’, sesuatu yang mampu dilakukan kerana susunan enjin yang menegak.
Gandar belakang pula menggunakan sistem gantungan ‘multi-link’ yang mempunyai banyak kelebihan dari segi talaan. Apa yang terjadi ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk yang mempunyai talaan pengendalian seperti sebuah sedan Eropah.
Stereng elektrik EPAS itu juga terasa padat dan telus ketika pemanduan agresif, membantu pemandu untuk merasai kedudukan kenderaan di atas laluan.
Memang ia cukup seronok dipandu laju, tetapi memandangkan ia sebenarnya ialah sebuah SUV yang mampu membawa keluarga, fokus sepatutnya diberikan kepada keselesaan penumpang dan ini tidak dapat dilakukan dengan cemerlang.
Penumpang di barisan paling hujung akan terasa seperti mereka itu anak tiri dan duduk bertimpung di atas papan buaian yang keras dan memantul-mantul.
Tempat duduk kedua mirip CX8 tetapi harga yang dipinta pula hampir RM100,000 lebih tinggi.
Dari segi teknologi, PHEV ini sebenarnya lebih kepada sebuah kenderaan hibrid yang boleh dicaj kerana enjin masih lagi menggerakkan roda belakang.
Bateri yang lebih besar dari kenderaan hibrid biasa memungkinkan perjalanan dengan tenaga elektrik sahaja, tetapi dari ujian penulis, hanya setakat dalam 50 hingga 55 km.
Cukup untuk mereka yang tidak perlu berjalan jauh ke pejabat, tetapi Mazda ini tidak mempunyai mod untuk ‘mengunci’ tenaga bateri seperti yang boleh dilakukan oleh Volvo. Ini bermakna, tenaga elektrik tetap akan digunakan ketika kenderaan bergerak. Dalam mod Sport, tenaga bateri kekal diperlukan untuk menjana pacuan kepada roda hadapan.
Secara ringkas, ini ialah sebuah hibrid yang lebih mementingkan prestasi, bukan penjimatan atau keselesaan. Malah dalam genre prestasi pun, berat 2.3 tan ini menjadikan ia lebih berat dari CX8 dan CX9 pun. Bila kenderaan terlalu berat, pecutan dari pegun dan halaju maksimum turut menurun.
Nasib baik fokus hamburan tenaga diberikan ketika dalam pemanduan. Daya kilas yang ligat ketika berada di banjaran pertengahan kelajuan enjin lebih praktikal dan lebih perlu ketika hendak memotong.
Buat masa ini, sasaran pasaran untuk CX80 ini ialah mereka yang tertarik dengan reka bentuk kenderaan ini atau mereka yang mahukan sebuah kereta yang sekali-sekala boleh membawa keluarga, tetapi selalunya mereka memandu sendirian.
Jika Mazda mampu turunkan harga CX80 ini dari RM297,000 di bawah paras RM250,000, kenderaan ini mungkin boleh jadi calon untuk pemilik CX8 berhijrah ke sesuatu yang lebih moden. – UTUSAN










