Mazda BT-50 Serba Baharu dilancar, harga bermula RM138,000 - Utusan Malaysia

Mazda BT-50 Serba Baharu dilancar, harga bermula RM138,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermaz Motor Berhad (Bermaz Auto) terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran automotif tempatan dengan pelancaran model terbaharu, Mazda BT-50 Serba Baharu, yang ditawarkan pada harga bermula RM138,000.

Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Tan Sri Ben Yeoh berkata, platform Mazda BT-50 berasaskan teknologi Isuzu, yang terkenal dengan ketahanan serta kebolehpercayaannya sebagai trak pikap.

“Ia menggunakan enjin yang lasak dan berkuasa, dan kami percaya konfigurasi enjin 3.0 liter ini amat sesuai untuk gaya hidup rekreasi, bukan untuk kegunaan industri berat.

“Matlamat utama kami memperkenalkan kenderaan ini adalah kerana ramai pelanggan mengimpikan untuk memiliki sebuah Mazda, tetapi dalam masa yang sama mahu sebuah trak bergaya dan praktikal.

“Selama ini, Mazda kurang dikenali dalam pembinaan trak pikap kerana sebelum ini kami bekerjasama dengan Ford dan menggunakan platform Ford selama bertahun-tahun,” katanya pada sidang media pelancaran Mazda BT-50 Serba Baharu di sini, hari ini.

Mazda BT-50 Serba Baharu menandakan lembaran baharu bagi Mazda dalam segmen trak pikap dan dikuasakan oleh enjin diesel turbo 3.0 liter, digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan serta sistem pacuan empat roda (4WD).

Aspek keselamatan turut dipertingkat melalui sistem i-Activsense, yang merangkumi Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintas Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Kawalan Kelajuan Penyesuaian (ACC) serta lapan beg udara SRS.

Model BT-50 ditawarkan dalam lima pilihan warna Kelabu Konkrit Mica, Merah Vermillion Latosol Mica, Hitam Asli Mica, Putih Geode Pearl dan Biru Pelayaran Mica, sekali gus disertakan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 100,000 kilometer.

Selain itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan model Mazda3 1.5L, dijual pada harga bermula RM118,900 yang dijana oleh enjin SkyActiv-G 1.5 liter empat silinder serta dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan SkyActiv-Drive, menawarkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan bahan api dan pemanduan yang lancar.

Mazda3 1.5L juga hadir dengan pakej keselamatan lengkap i-Activsense, termasuk, Sokongan Brek Pintar (hadapan dan belakang), Kawalan Kelajuan Radar Mazda (MRCC), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LAS), Pemantauan Titik Buta (BSM) serta Amaran Lintas Trafik Belakang (RCTA).

Model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu turut dilengkapi sembilan beg udara dan sistem kestabilan elektronik dan hadir dengan tujuh pilihan warna, termasuk Merah Kristal Jiwa (Soul Red Crystal), Kelabu Polymetal, Kuartz Platinum dan Putih Mutiara Snowflake, serta disertakan Jaminan Pengeluar Lima Tahun dan Program Penyelenggaraan Percuma Lima Tahun.

Dalam perkembangan lain, Ben Yeoh berkata, model baharu Mazda CX-5 dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.

“Ia akan diperkenalkan terlebih dahulu sebagai model CBU, manakala pemasangan tempatan (CKD) dijangka bermula dalam tempoh 12 hingga 16 bulan selepas itu.

“Model baharu ini hanya akan menggunakan enjin 2.5 liter, manakala model sedia ada dengan enjin 2.0 liter akan terus dijual di pasaran tertentu seperti Taiwan,” ujarnya.

Mengulas mengenai insentif cukai kenderaan elektrik (EV) yang dijadual tamat pada akhir tahun ini, beliau berkata, kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan insentif bagi EV CBU dan menggantikannya dengan struktur duti baharu.

“Walaupun butiran penuh masih belum dimuktamadkan, objektif utama kerajaan adalah untuk menggalakkan aktiviti perindustrian tempatan (lokalisasi), supaya pengeluar, termasuk dari China komited untuk melabur serta membangunkan rantaian bekalan tempatan.

“Kami menjangkakan akan berlaku tempoh penyesuaian selama enam hingga lapan bulan selepas insentif ditarik balik sebelum aktiviti pemasangan tempatan dapat dijalankan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN