LPPSA terima pembiayaan RM1 bilion

LPPSA terima pembiayaan RM1 bilion untuk perumahan kakitangan awam

FARID Nawawi (dua kanan) dan Omar Siddiq (dua kiri) bertukar dokumen selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama antara HSBC Amanah dan LPPSA bagi penyediaan pembiayaan perumahan penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menerima pembiayaan berjumlah RM1 bilion daripada HSBC Amanah, bagi menawarkan pembiayaan perumahan khusus untuk kakitangan kerajaan. 

Transaksi ini merupakan inisiatif pendanaan alternatif pertama oleh LPPSA dan mendirikan fasiliti bukan Jaminan Kerajaan (GG) Pembiayaan Amaun Belum Terima Islam (RF-i). 

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Farid Nawawi berkata, inisiatif ini selari dengan fokus kerajaan untuk memperluas akses kepada pembiayaan perumahan untuk kakitangan kerajaan, di samping menyediakan kemudahan pembiayaan alternatif yang inovatif kepada badan-badan kerajaan.

“Kerjasama LPPSA dengan HSBC akan membolehkan LPPSA memainkan peranan penting dalam membantu hampir 1.6 juta kakitangan kerajaan dalam negara, merentasi semua pangkat untuk menerima pembiayaan perumahan dan memenuhi aspirasi mereka untuk memiliki rumah, dengan memastikan akses sewajarnya kepada sumber yang diperlukan untuk memperoleh kediaman pada masa akan datang. 

“Inisiatif ini akan mengukuhkan disiplin fiskal LPPSA, seperti yang terkandung dalam Akta Tanggungjawab Fiskal,” katanya dalam kenyataan.

Pematuhan berterusan Malaysia kepada dasar penstabilan hutang amat penting untuk mencapai kedudukan fiskal yang lebih kukuh dan mampan

Pembiayaan yang ditawarkan oleh HSBC Amanah kepada LPPSA untuk pinjaman perumahan kakitangan kerajaan boleh menyumbang kepada pengurusan hutang berkesan, dengan mengoptimumkan tahap pendedahan kerajaan kepada jaminan. 

Selain itu, dengan menyediakan akses kepada pembiayaan perumahan untuk kakitangan kerajaan, inisiatif ini meninggalkan impak berterusan bukan hanya kepada kakitangan kerajaan tetapi juga kepada kestabilan, kecekapan,m dan ekuiti di seluruh negara sejajar dengan rangka kerja Madani.

Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, pembiayaan RM1 bilion yang disediakan HSBC Amanah kepada LPPSA bergerak selari dengan agenda kerajaan untuk memperluas akses perumahan kepada kakitangan kerajaan. 

“Inisiatif ini tidak sekadar menyokong usaha pengurusan hutang oleh kerajaan, tetapi juga menawarkan manfaat sosial dan ekonomi untuk komuniti kakitangan kerajaan sekaligus menyumbang kepada iklim kewangan yang lebih stabil. 

“Penyelesaian ini menunjukkan kebolehan dan kepakaran inovatif HSBC dalam menyediakan solusi perbankan patuh syariah, dan pada masa yang sama memenuhi keperluan sektor perkhidmatan kerajaan dengan berkesan,” katanya. 

LPPSA berjaya meningkatkan ketangkasan pembiayaan dengan melaksanakan penyelesaian RF-i yang inovatif oleh HSBC Amanah. 

Kemudahan ini dirangka untuk menyokong program utama GG sukuk LPPSA, membolehkan lembaga mempelbagaikan pilihan pendanaan. 

Pendekatan ini memastikan kos pembiayaan yang berdaya saing sambil mengukuhkan misi utama untuk menyediakan pembiayaan perumahan yang mampan kepada sektor awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×