INNOVATHON 3 sedia hadiah RM1.65 juta

INNOVATHON 3 sedia hadiah RM1.65 juta rangsang inovasi tempatan

PROGRAM realiti TV itu menjadi platform untuk mengangkat kemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Astro dengan kerjasama Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan program INNOVATHON Musim Ketiga (INNOVATHON 3) berteraskan sains, teknologi dan inovasi dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM1.65 juta.

Program realiti TV itu menjadi platform untuk mengangkat kemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia seiring usaha mencari penyelesaian serta penambahbaikan terhadap isu-isu sosioekonomi semasa.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah keseluruhan hadiah itu merupakan peningkatan Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan pada musim ini berbanding RM1 juta pada musim sebelum. 

“Program INNOVATHON ini selaras dengan salah satu keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui strategi pemantapan ekosistem pendidikan serta pembangunan operasi dan inovasi RMK13.

“Penyertaan dalam program ini bukti jelas bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan bakat dalam bidang RMK13. Selain peningkatan bilangan peserta, kebahagiaan jenis inovasi dapat dilihat dari musim pertama hingga musim ketiga. 

“Selepas tiga musim penganjuran INNOVATHON, dapat dilihat bahawa antara 30 hingga 40 peratus inovasi yang diketengahkan dalam sesi uji bakat berfokus kepada penambahbaikan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat,” katanya pada sidang media pelancaran program tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Ekonomi, MOSTI dan Astro juga  mengambil langkah untuk mengadakan sesi uji bakat secara bersasar di lima lokasi terpilih pada Julai yang lepas. 

“Pemilihan lokasi tersebut mengambil kira potensi dan minat serta pemohonan kepada agensi dan institusi pendidikan tinggi yang banyak terlibat dalam kegiatan inovasi. 

“Uji bakat secara bersasar ini merupakan penambahbaikan baharu yang dibuat dan berhasil post-mortem musim pertama dan musim kedua,” katanya. 

Beliau berkata, sesi uji bakat terbuka telah diadakan pada 10 Jun hingga 5 Ogos 2025 di enam zon istimewa Malaysia iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. 

“Pada musim kali ini, kita telah terima jumlah penyertaan yang meningkat lebih daripada 100 peratus. Jumlah penyertaan sebanyak 2,032 pada 2025 berbanding 1,003 pada 2024. 

“Ini membuktikan rakyat Malaysia semakin berani menampil ke hadapan untuk memperagakan produk-produk keluaran tempatan yang berkualiti dan mempunyai impak besar pada masyarakat,” jelasnya. 

Juara INNOVATHON 3 akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM80,000 dan RM50,000. 

Selain itu, tempat keempat dan kelima akan menerima RM10,000 dan RM5,000. 

Kelima-lima pemenang itu juga akan menerima Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan mengikut kesesuaian dan skala perniagaan mereka dengan nilai terkumpul sehingga RM1.65 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, Astro akan terus meraikan golongan pemikir kreatif serta menyediakan platform untuk mereka membentangkan idea-idea inovatif melalui INNOVATHON. 

“Dengan sokongan padu daripada Kementerian Ekonomi dan MOSTI, Astro akan memastikan setiap idea ini mendapat perhatian, peluang penambahbaikan serta dikembangkan menjadi inovasi yang menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi negara. 

“Usaha ini juga menyahut inisiatif kementerian dalam usaha mempopularkan budaya sains dan teknologi, terutamanya dalam golongan generasi muda dengan menggalakkan mereka terus berinovasi dan menyumbang idea bernas kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN