Indeks Pelopor naik 0.8 peratus pada September - Utusan Malaysia

Indeks Pelopor naik 0.8 peratus pada September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan tanda pemulihan apabila Indeks Pelopor (IP) meningkat 0.8 peratus pada September 2025 kepada 113.3 mata berbanding 112.4 mata pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

IP merupakan petunjuk awal bagi mengesan titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat, sekali gus memberi gambaran awal mengenai momentum pertumbuhan negara.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu disokong oleh pertumbuhan dua digit dalam bilangan syarikat baharu didaftar (16 peratus) serta import benar semikonduktor (15.8 peratus), menunjukkan aktiviti perniagaan dan permintaan dalam sektor berkaitan teknologi terus kukuh.

Bagaimanapun, pada asas bulanan, IP susut 0.5 peratus dipengaruhi oleh kejatuhan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.7 peratus) dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-0.5 peratus).

“Meskipun trend arah aliran jangka panjang terlicin IP kekal di bawah paras 100.0 mata, kedudukan ekonomi Malaysia secara keseluruhan masih berdaya tahan.

“Ekonomi dijangka terus berkembang disokong oleh asas domestik yang kukuh, perdagangan yang memberangsangkan, pelaburan yang stabil serta tekanan inflasi yang semakin mereda. Faktor-faktor ini menjadi penampan terhadap risiko global dan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa turut mencatat pertumbuhan positif 2.6 peratus, meningkat kepada 129.1 mata berbanding 125.8 mata pada bulan sama tahun lalu.

Peningkatan itu didorong oleh prestasi kukuh komponen Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melonjak 15.6 peratus, menandakan kestabilan upah dan sokongan berterusan terhadap perbelanjaan isi rumah.

Secara bulanan, IS pulih 0.2 peratus selepas mencatat penurunan 0.6 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu oleh kenaikan 0.3 peratus Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit, komponen yang merekodkan peningkatan tertinggi, sekali gus mencerminkan aktiviti ekonomi domestik yang terus berdaya tahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN