Hong Shan Food bawa rasa Pulau Pinang ke global

Hong Shan Food bawa rasa Pulau Pinang ke global

CONAN Yeoh menunjukan pes Mongolia dan Nyonya keluaran syarikatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN menukar haluan perniagaan selepas pandemik Covid-19 ternyata membawa tuah apabila Hong Shan Food Industries Sdn. Bhd., kini muncul antara pengeluar pes makanan siap dimakan tempatan dari Pulau Pinang yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Pengarahnya, Conan Yeoh berkata, perubahan landskap industri makanan selepas pandemik membuka peluang besar kepada pemain baharu.

“Ini khususnya dalam segmen makanan siap dimakan yang semakin mendapat sambutan.

“Selepas lebih 20 tahun dalam industri besi dan keluli, saya mula melihat potensi besar dalam industri makanan. 

“Restoran kini lebih banyak menggunakan bahan siap dimakan berbanding menggaji cef sepenuh masa. Dari situ saya nampak masa depan industri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Diasaskan pada 2023, Hong Shan Food menghasilkan pelbagai pes masakan di bawah jenama Yang’s Kitchen Recipe yang diinspirasikan daripada cita rasa asli Pulau Pinang. 

Kini, syarikat itu bukan sahaja menumpukan kepada pasaran tempatan, malah telah menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura, Hong Kong, Macau, China dan Australia.

Produk Yang’s Kitchen Recipe kini dijual di beberapa rangkaian utama, termasuk Sheng Siong di Singapura dan SOGO di Hong Kong. 

“Kami mahu terus memperkukuh kehadiran di rantau Asia. Dalam masa sama, kami turut membantu usahawan lain melalui perkhidmatan peralatan asal (OEM) bagi produk makanan mereka.

“Kami juga dalam proses perbincangan dengan beberapa rangkaian pasar raya dan stesen minyak tempatan untuk memperluas capaian produk di Malaysia, selain merancang menembusi FairPrice di Singapura dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam industri besi dan keluli berkata, antara produk popular termasuk Mi Kari, Mi Hokkien, Thai Laksa, Kari Ikan, Kari Daging dan hidangan Baba Nyonya.

“Pes makanan siap sedia jenama Yang’s Kitchen Recipe juga mencatat peningkatan jualan ketara sebanyak 50 peratus selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada November 2023.

“Selain itu, setiap produk disertakan dengan kod respons pantas (QR Code) untuk memudahkan pengguna melihat cara penyediaan menjadi pendekatan yang dianggap selari dengan gaya hidup moden dan pantas.

“Kami mahu menjadikan masakan tradisional lebih mudah dinikmati tanpa mengorbankan rasa asal. Inovasi dalam pembungkusan dan penyediaan menjadi keutamaan kami,” jelasnya.

Melangkah ke hadapan, Hong Shan Food menyasarkan pertumbuhan mampan melalui inovasi produk dan peluasan pasaran eksport, termasuk ke Indonesia dan beberapa negara Asia Tenggara lain.

“Matlamat kami mudah, bawa cita rasa Malaysia ke dunia. Kami percaya makanan bukan sekadar perniagaan, tetapi cara memperkenalkan budaya dan identiti tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN