KUALA LUMPUR: GX Bank Berhad (GXBank) menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan amalan pembiayaan berhemah melalui produk FlexiCredit, yang dirangka khusus bagi mengelakkan pengguna daripada terjerumus ke dalam perangkap hutang dan bergantung kepada pemberi pinjaman wang berisiko tinggi.
Ini susulan kebimbangan orang ramai mengenai manipulasi kewangan, kadar faedah melampau serta kecenderungan segelintir pengguna bergantung kepada pinjaman tidak berdaftar untuk memenuhi keperluan asas.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kaushik Chowdury berkata, FlexiCredit dibangunkan dengan struktur kawal selia ketat serta mekanisme risiko terkawal, sekali gus berupaya menawarkan alternatif yang lebih selamat daripada ah long.
“Sebagai bank digital berlesen penuh, kami terikat dengan garis panduan perbankan yang ketat. Kami bukan pemberi pinjam wang tidak berdaftar.
“FlexiCredit direka supaya pengguna mendapat akses kepada kredit dalam sistem yang tersusun dan dilindungi, bukan melalui saluran yang membebankan atau menjerat mereka,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun kedua GXBank di sini hari ini.
Mengulas lanjut Chowdury berkata, kadar pembiayaan FlexiCredit adalah berasaskan risiko, bukan ditetapkan sewenang-wenangnya seperti amalan banyak pemberi pinjam wang tidak berlesen.
Katanya, kadar purata FlexiCredit lebih rendah daripada kadar faedah kad kredit, sekali gus menjadikannya pilihan lebih mampu milik bagi pengguna yang memerlukan akses tunai segera.
“Secara agregat, FlexiCredit berada pada paras kadar yang lebih rendah berbanding kad kredit. Ia bukan produk yang bersifat pemangsa.
“Menariknya, purata jumlah pengeluaran FlexiCredit kekal kecil, sekitar RM7,500 hingga RM8,000, selaras dengan keperluan sebenar pengguna,” katanya.
Tambahnya, GXBank turut memastikan setiap permohonan mematuhi pengiraan nisbah khidmat hutang (DSR) yang ketat bagi mengelakkan pengguna mengambil beban kewangan yang tidak mampu ditanggung.
“Walaupun jumlahnya kecil, kami tetap memastikan ia berada dalam had kemampuan pelanggan,” tambah beliau. – UTUSAN










