PETALING JAYA: Equinix, Inc., syarikat infrastruktur digital terkemuka dunia, mencapai kemajuan utama dalam pembinaan pusat data International Business Exchange™ (IBX®) kedua di Johor, dikenali sebagai JH2.
Menurut kenyataan, pusat data itu dibangunkan dengan pelaburan awal sebanyak AS$201 juta (RM836.03 juta) dan dijangka siap serta mula beroperasi pada suku ketiga 2027, menyediakan 2,225 kabinet bagi menyokong ekonomi Malaysia yang berkembang pesat.
“Terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), JH2 dijangka memperluaskan kehadiran Equinix di peringkat serantau serta membolehkan syarikat tempatan dan antarabangsa berhubung secara langsung dengan beberapa pasaran digital paling dinamik di dunia.
“Pencapaian ini menekankan komitmen Equinix dalam memajukan infrastruktur digital Malaysia dan memperkukuh sambungan rentas sempadan bagi memacu inovasi serta pertumbuhan di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, syarikat itu telah membuka pusat data pertamanya di Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri, dengan pelaburan awal bernilai kira-kira AS$40 juta atau RM188 juta.
Kemudahan berkeluasan 1,800 meter persegi itu direka bentuk dengan tahap kebolehoperasian 99.999 peratus dan dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan dasar tenaga hijau Johor.
Pada masa sama, Equinix turut mengendalikan pusat data kedua di Cyberjaya, yang mula beroperasi pada Januari 2024.
Kehadiran syarikat gergasi seperti Equinix, tambahnya, adalah bukti keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju. – UTUSAN










