ECO Business Park 7 (EBP 7) menawarkan pembangunan industri pertama yang dilancarkan dalam Parcel C di bawah pelan induk Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
EBP 7 dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta antara EcoWorld, SD Guthrie melalui anak syarikat milik penuhnya SD Guthrie Land Ventures Sdn. Bhd. (SDGLV) dan NS Corp, agensi negeri yang bertanggungjawab menyelaras serta memacu pelaksanaan pelan induk MVV 2.0.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran EcoWorld dalam pembangunan taman perindustrian, sumber tanah luas SD Guthrie, serta perancangan strategik NS Corp bagi menjayakan visi Negeri Sembilan ke arah pertumbuhan mapan dan berimpak tinggi.
Terletak di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 483.6 hektar di Bukit Pelandok, Mukim Jimah, Port Dickson, projek ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM3 bilion.
Projek ini merupakan komponen utama Parcel C dalam pelan MVV 2.0, kawasan yang diperuntukkan untuk kluster industri, logistik dan ekonomi yang bakal mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai hab pelaburan dan pembuatan berdaya saing di koridor selatan negara.
EBP 7 direka sebagai pembangunan industri bersepadu dengan kemudahan komersial yang mewujudkan persekitaran perniagaan serba lengkap.
Sementara itu, projek ini menawarkan pelbagai pilihan lot industri bersaiz sederhana dan kilang siap bina, di samping kemudahan runcit serta perkhidmatan bagi menyokong keperluan perniagaan, usahawan dan tenaga kerja.
Projek tersebut menyasarkan sektor pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, logistik dan e-dagang, industri halal, bioteknologi dan pembuatan berteknologi tinggi.
EBP 7 dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan langsung domestik (DDI) dan asing (FDI) serta menyumbang kepada matlamat MVV 2.0 dalam memacu perindustrian mapan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat dan komuniti setempat.
Fasa pertama SME Core memperkenalkan pelbagai tawaran industri, termasuk kilang kluster (60’ × 100’, 60’ × 120’), kilang berkembar (75’ × 130’, 75’ × 140’) dan lot tanah industri antara 10.4 hingga 2.0 hektar, bagi memenuhi keperluan pelbagai perniagaan yang sedang berkembang.
Lot yang lebih besar melebihi 2.0 hektar turut disediakan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datu Seri Aminuddin Harun berkata, projek ini merupakan contoh utama bagaimana perkongsian strategik antara sektor awam dan swasta mampu menjelmakan visi pembangunan kepada nilai ekonomi sebenar.
“MVV 2.0 ialah inisiatif yang diterajui kerajaan negeri dan dipacu sektor swasta bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta menarik industri berimpak tinggi. EBP 7 sebagai projek industri pertama dalam Parcel C akan menjadi pemangkin utama dalam mencapai matlamat ini,” katanya.
Beliau menambah, EBP 7 akan meraih manfaat daripada kedudukan Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, pelancaran EBP 7 menandakan permulaan transformasi Parcel C menjadi hab industri dan logistik yang dinamik.
“Dengan pengalaman kami dalam membangunkan taman perindustrian berjaya, kami yakin EBP 7 akan menarik pelabur berkualiti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Negeri Sembilan,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pihaknya amat teruja melihat kerjasama ini direalisasikan dengan sambutan awal yang amat menggalakkan.
“EBP 7 menandakan satu mercu tanda penting dalam pertumbuhan Guthrie dalam segmen taman perindustrian, hasil gabungan visi, strategi dan pelaksanaan.
“Kami akan terus memanfaatkan potensi tanah kami dan berbangga menjadi sebahagian daripada visi Negeri Sembilan dan agenda pembangunan nasional,” katanya.
Melangkah ke hadapan, EBP 7 akan berperanan sebagai pemangkin pelaburan baharu dan kemajuan teknologi, memupuk kerjasama antara industri, pelabur dan komuniti tempatan.
Projek ini mencerminkan komitmen bersama EcoWorld, SD Guthrie dan NS Corp untuk meletakkan Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan bagi pembuatan bernilai tinggi dan industri masa depan, satu langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia Vision Valley 2.0 sebagai kawasan pertumbuhan serantau yang mampan dan inklusif.
Pembangunan ini terletak berhampiran Lebuhraya Nilai–Labu–Enstek (NLE) memberikan akses mudah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang, sekali gus memastikan sambungan logistik yang efisien ke seluruh negara dan antarabangsa. – UTUSAN










