Eco Business Park 7 dibangunkan di MVV 2.0, GDV RM3 bilion - Utusan Malaysia

Eco Business Park 7 dibangunkan di MVV 2.0, GDV RM3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Taman perindustrian pertama di bawah projek pembangunan jangka panjang Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 Eco Business Park 7 dilancarkan sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi di Negeri Sembilan.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3 bilion itu dibangunkan secara bersama Eco World Development Group Bhd (Eco World), SD Guthrie Bhd. (SD Guthrie) dan NS Corporation (NS Corp) di atas tanah bebas milik seluas 483.6 hektar di Bukit Pelandok, Jimah di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group, Datuk Chang Khim Wah berkata, pelancaran Eco Business Park 7 menandakan permulaan transformasi Parcel C MVV 2.0 sebagai hab perindustrian dinamik.

Menurutnya, Eco Business Park 7 akan menarik pelabur berkualiti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Negeri Sembilan.

“Eco Business Park 7 bakal menjadi hab industri yang maju dan berdaya saing menerusi pendekatan pembangunan lestari sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan rakan industri utama.

“Kami menghargai komitmen kuat kerajaan negeri terhadap pembangunan MVV 2.0. Ia secara tidak langsung menjadi asas kukuh untuk pembangunan yang mampan serta inklusif. Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam kemajuan pesat Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Pembukaan Galeri Jualan Eco Business Park 7, Taman Perindustrian Pertama Parcel C MVV 2.0 di Bukit Palandok di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, kelmarin.

Eco Business Park 7 direka sebagai pembangunan perindustrian bersepadu dengan pusat komersial bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdikari. Ia akan menawarkan lot industri bersaiz sederhana dan kilang siap bina di samping kemudahan runcit dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan perniagaan, usahawan dan pekerja.

Ia disasarkan kepada sektor berpotensi tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, logistic dan e-dagang, industri halal, bioteknologi serta pembuatan berteknologi tinggi. Fasa pertama pembangunannya akan melibatkan pembinaan kilang kluster, kilang berkembar serta lot tanah industri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SD Guthrie, Mohammad Helmy Othman Basha berkata, pelancaran Eco Business Park 7 menandakan pencapaian penting dalam pengembangan syarikat itu dalam segmen taman perindustrian.

“Ketika SD Guthrie berusaha membuka potensi nilai tanah kami, kami berasa bangga menjadi sebahagian daripada visi Negeri Sembilan serta agenda pembangunan negara. Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu dan kemajuan teknologi, di samping menggalakkan kerjasama antara industri, pelabur dan komuniti tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN