PETALING JAYA: DXN Holdings Bhd. (DXN), pengeluar global terkemuka produk nutraseutikal, terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen pemakanan sihat dengan pelancaran dua produk baharu iaitu Telur Lingzhi DXN dan Biskut Mentega DXN.
Produk berasaskan Ganoderma (Lingzhi) itu diperkenalkan hasil kerjasama DXN dengan Selasih Aman Sdn. Bhd. (SASB), sebuah perusahaan penternakan ayam telur milik penuh bumiputera, serta Global Premium Resources Sdn. Bhd. (GPR), pengeluar konfeksi tempatan berpengalaman lebih dua dekad.
Kerjasama dengan SASB membolehkan penghasilan Telur Lingzhi DXN yang dihasilkan daripada ayam telur diberi diet khas diperkaya dengan Ganoderma, iaitu herba tradisional Cina yang diiktiraf lebih 2,000 tahun sebagai “Raja Herba”.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, pelancaran tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkenalkan inovasi pemakanan berasaskan kesihatan kepada masyarakat.
“Lebih daripada sekadar telur, produk ini melambangkan usaha DXN menjadikan gaya hidup sihat lebih mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SASB, Brian Lim Jit Shen berkata, kerjasama itu membuka lembaran baharu kepada sektor pertanian tempatan dengan menggabungkan teknologi penyelidikan moden dan amalan penternakan lestari.
“Inisiatif ini membuktikan pertanian tradisional boleh ditransformasikan secara inovatif bagi menghasilkan makanan berfungsi bernilai tambah,” katanya.
Pelancaran Biskut Mentega DXN dengan kerjasama GPR pula memperluas portfolio makanan berfungsi DXN.
GPR kini mengeksport produknya ke lebih 38 negara termasuk Jepun, China, Amerika Syarikat dan Timur Tengah.
Produk biskut tersebut turut diperkaya dengan Ganoderma bagi menggabungkan keenakan rasa dan manfaat kesihatan, sejajar usaha DXN mengintegrasikan elemen kesejahteraan ke dalam makanan harian.
Setakat 31 Ogos, DXN mempunyai 607 SKU dalam portfolionya, termasuk 444 produk kesihatan dan kesejahteraan seperti kopi, bijirin, suplemen dan penjagaan diri.
Pelancaran dua produk baharu itu turut mengukuhkan kedudukan DXN sebagai peneraju inovasi dalam pemakanan berfungsi, selepas pengembangan syarikat ke operasi huluan melalui penubuhan ladang dan kilang pemprosesan kopi di Brazil baru-baru ini.
Langkah berkenaan selaras dengan strategi syarikat untuk memperkukuh kawalan rantaian nilai dari penanaman bahan mentah hingga ke inovasi produk, sekali gus menyokong pertumbuhan mampan dan visi DXN menjadikan gaya hidup sihat sebahagian daripada kehidupan seharian. – UTUSAN










