PARA kontraktor bumiputera yang terlibat sebagai subkontraktor untuk pemasangan dan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam industri solar dalam dilema ekoran pelbagai isu berkaitan polisi dan garis panduan yang tidak jelas.
Satu daripada isu yang kritikal ialah berkaitan dengan tenaga kerja tempatan yang diberi penekanan oleh kerajaan, termasuk disebut dalam Balanjawan 2026 yang dibentang oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.
Isu ini jika tidak diselesaikan akan menjejaskan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) atau menjadikannya sekadar cantik di atas kertas.
Pengarah Urusan FTR GreenTech Sdn. Bhd., Mohamad Firdaus Nazli yang merupakan subkontraktor dalam kerja-kerja pemasangan solar berkata, atas kertas NETR menjanjikan 12,000 peluang pekerjaan baharu.
Tetapi realitinya perkara itu sukar dicapai kerana berdasarkan pengalaman mereka, hanya 2,000 posisi sahaja yang mampu diisi oleh tenaga kerja tempatan.
Katanya, pekerja-pekerja tempatan hanya akan mengisi jawatan-jawatan peringkat penyelia sahaja.
Untuk pekerja bawahan pasti akan diisi oleh pekerja asing yang tidak mahir kerana faktor kos.
Katanya, ketika kerajaan bercita-cita untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) terutama solar, agensi pelaksana dan pembuat dasar yang bertanggungjawab untuk memajukan industri ini pula bertindak sebaliknya.
Beliau memberitahu, agensi-agensi pelaksana ini secara tidak langsung menggagalkan usaha melahirkan lebih ramai pekerja tempatan dalam sektor ekoran meletakkan kos yang terlalu minimum dalam menghasilkan setiap kilowatt tenaga.
Jadi katanya, model perniagaan dan struktur harga kontrak yang ditentukan melalui dasar NETR dan dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air terutamanya terlalu menekan para kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pemasangan.
“Margin keuntungan yang rendah menyebabkan banyak kontraktor terpaksa memilih tenaga kerja asing semata-mata bagi mengekalkan kos operasi.
“Syarikat yang cuba menggunakan pekerja tempatan tidak akan mampu bersaing daripada segi harga, sekali gus tersisih daripada projek utama,” katanya.
Akibatnya kata beliau, syarikat-syarikat pemasangan tempatan yang berskala industri kecil dan sederhana (IKS) dan terutama yang mengupah pekerja tempatan 100 peratus akan terasing daripada industri ini.
Satu daripada puncanya ialah dasar kerajaan dalam industri yang tidak jelas terutama berkaitan dengan tenaga kerja hingga syarikat-syarikat yang mahukan keuntungan maksimum sanggup menggaji tenaga kerja asing 100 peratus walaupun tiada kemahiran dan pengalaman hingga menjadikan industri solar negara berkualiti rendah dan berhadapan dengan pelbagai masalah.
Perkara itu diakui oleh Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng yang telah terlibat dalam industri solar sejak 1998.
Katanya, kecenderungan untuk menganugerahkan kontrak yang berkaitan TBB terutama solar kepada mereka yang tidak mempunyai pengalaman atas alasan tender yang murah menyebabkan industri tersebut di negara ini dilambakkan dengan tenaga kerja yang tidak berkualaiti.
“Untuk memastikan mereka dapat capai kos yang rendah ini, mereka tidak peduli keperluan untuk upah pekerja tempatan. Mereka tidak peduli hasrat NETR kononnya untuk sediakan 10,000 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
“Yang mereka peduli ialah siapkan projek biarpun tanpa jaminan kualiti kerana menggunakan tenaga kerja warga asing yang langsung tiada kepakaran dalam bidang ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (Pintare), Ir. Ahmad Fathi Zainalazlan berkata, kerajaan perlu melihat pembabitan pekerja tempatan dalam industri secara holistik.
Katanya, dasar yang diperkenal dan dilaksanakan perlu selari serta dipantau secara berterusan supaya aspirasi melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkualiti dalam bidang ini menjadi kenyataan.
Katanya, TBB adalah industri yang berteknologi tinggi dan bukannya sektor 3D yang sesuai untuk pekerja warga asing.
“Ini bukan industri 3D. Ia adalah industri berteknologi tinggi. Jadi pekerja untuk sektor TBB ini tidak boleh diketegorikan sebagai sektor 3D kerana ia memerlukan kepakaran tertentu.
“Apabila disamakan dengan 3D maka timbullah segala macam masalah seperti upah yang rendah untuk pekerja tempatan yang hanya setara dengan warga asing di sektor 3D. – UTUSAN










