BNM dijangka kekalkan OPR pada 2.75 peratus minggu depan

BNM dijangka kekalkan OPR pada 2.75 peratus minggu depan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keenam Khamis depan, disokong ekonomi negara yang stabil pada dasar monetari semasa.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini didorong oleh anggaran awal pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga dijangka pada kadar 5.2 peratus berbanding 4.4 peratus pada separuh tahun pertama 2025.

Katanya, kadar inflasi juga kekal stabil sekitar 1.4 peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini, menjadikan pengekalan OPR sebagai langkah yang tepat untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan mengawal kadar inflasi.

Jelansya, perjanjian perdagangan bebas (FTA) semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hakikatnya akan membantu pertumbuhan ekonomi disebabkan akses kepada pasaran luar semakin meningkat dan peluang bagi peniaga di Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Selain itu, ia juga boleh menggalakkan persaingan disebabkan kemasukan produk-produk daripada luar negara yang akan menghasilkan tingkat harga barangan dan perkhidmatan yang lebih fleksibel.

“Kesemuanya akan merancakkan ekonomi negara dan para pemain industri perlu sentiasa meningkatkan skala ekonomi mereka bagi menembusi pasaran luaran negara dan bersaing dengan syarikat dengan secara efektif.

“Maka pengekalan OPR seharusnya membantu dalam usaha untuk menaikkan skala ekonomi firma melalui kos pembiayaan yang lebih kompetitif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, dalam melaksanakan dasar monetari, pihak BNM sentiasa memberi fokus kepada aspek pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi.

“Kadar tukaran asing pula akan ditetapkan oleh kuasa pasaran. Namun, sekiranya berlaku kemeruapan pasaran mata wang yang ekstrem, maka pihak BNM hanya akan campur tangan untuk menstabilkan pergerakan mata wang,” katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, OPR dijangka kekal, dipacu pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga berdasarkan data awal Jabatan Perangkaan.

Katanya, pasaran eksport negara kelihatan berjaya dalam penstrukrutan daganag dunia bersama rakan dagang lain dalam merubah pasaran dan tidak terlalu bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Tarif semikonduktor oleh AS kepada Malaysia masih lagi dikecualikan, Banyak syarikat multinasional (MNC) pengeluar semikonduktor di Malaysia adalah syarikat yang berasal dari AS.

“Dengan Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan 0.25 peratus kadar faedahnya kepada 3.7 peratus memberikan kesan positif kepada pasaran seperti jangkaan pasaran.

“Kemungkinan pemotongan lagi 0.25 peratus Disember nanti dijangka terus mengukuhkan ringgit berbanding dolar AS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN