PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan inisiatif kewangan terbuka yang membolehkan pengguna mengawal bagaimana data kewangan mereka termasuk akaun simpanan, kad caj dan kad kredit, dikongsi, diakses dan digunakan.
Dalam kenyataan di laman web BNM, Draf Pendedahan ini menetapkan cadangan keperluan pengawalseliaan BNM bagi kewangan terbuka berfungsi sebagai kerangka asas untuk memudahkan perkongsian maklumat pelanggan yang berasaskan persetujuan di seluruh sektor kewangan secara selamat, terbuka, mudah diakses, boleh saling beroperasi dan tepat pada masanya.
“Di bawah cadangan peraturan BNM, bank besar, institusi kewangan pembangunan dan penyedia e-dompet yang layak akan mula berkongsi maklumat pelanggan termasuk transaksi 12 bulan terakhir dan baki akaun semasa, hanya bagi pelanggan yang memberi persetujuan secara aktif.
“Bank dengan lebih 100,000 pelanggan individu atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), institusi kewangan pembangunan dengan lebih 100,000 pelanggan, serta penerbit e-dompet dengan lebih lima juta pengguna aktif, diwajibkan menyertai inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan.
Bagi pemain kewangan lain, penyertaan adalah pilihan.
Pelaksanaan mengikut kategori mulai 1 Januari 2027, bank berkongsi data untuk individu manakala PKS akan disertakan mulai 1 Januari 2028.
Mulai 1 Januari 2029, institusi kewangan pembangunan berkongsi data untuk individu dan PKS, manakala penerbit e-dompet berkongsi data untuk individu.
BNM berkata, perkongsian data mesti selamat, sukarela dan boleh ditarik balik.
“Persetujuan pelanggan mestilah jelas dan khusus dengan dashboard disediakan untuk membolehkan pelanggan melihat, memperbaharui atau menarik balik persetujuan.
“Data juga mesti digunakan hanya untuk tujuan yang dipersetujui, disimpan dengan selamat, dan dipadam selepas persetujuan tamat.
“Kerangka ini turut merangkumi perlindungan data, notifikasi pelanggaran, dan pengendalian aduan, memastikan institusi kewangan menguruskan maklumat pelanggan dengan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut BNM, inisiatif ini berpotensi membawa kepada proses digital sepenuhnya, menggantikan kaedah manual dalam penghantaran dan penyerahan dokumen.
Bank pusat berharap, langkah ini akan membuka jalan kepada ekosistem data terbuka yang lebih luas di Malaysia, memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan.
Orang ramai dan pihak berkepentingan dijemput memberi maklum balas bertulis mengenai peraturan kewangan terbuka sebelum 1 Mac 2026. – UTUSAN










