Belajar dari YouTube, kini miliki 20 cawangan barbershop

Belajar dari YouTube, kini miliki 20 cawangan barbershop

ARDY Dimas bersama produk keluarannya, Mr Brown hair pomade dan clay.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA daripada sebuah kedai pakaian kecil di Downtown Cheras, siapa sangka seorang anak muda dari Kedah yang hanya belajar menggunting rambut melalui YouTube kini berjaya membina empayar Nimroc Barbershop dengan lebih 20 cawangan di seluruh negara.

Itulah kisah Ketua Pegawai Eksekutif Nimroc Holdings Sdn. Bhd., Ardy Damis, yang membuktikan bahawa keberanian dan semangat tidak mudah putus asa mampu mengubah masa depan seseorang.

“Saya datang ke Kuala Lumpur selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk bekerja. Saya pernah kerja di kedai pizza, pusat panggilan dan macam-macam lagi. Tapi jiwa saya kuat nak berniaga. 

“Saya memulakan perniagaan pertama dengan menjual pakaian yang dibawa dari Bangkok, namun perniagaan itu tidak bertahan lama. 

“Satu hari saya dengar kawan bergurau kata bagus kalau ada orang buka tempat gunting rambut dekat pasar malam tu. Dari situ timbul idea untuk belajar ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran cawangan baharu di The Campus, Ampang baru-baru ini. 

Tanpa pengalaman dan latihan, Ardy menonton video tutorial di YouTube sepanjang malam sebelum membuka kedai gunting rambutnya sendiri keesokan hari.

Dengan modal RM4,000 hasil pinjaman abangnya, beliau membeli kerusi, mesin dan gunting untuk menukar kedai pakaiannya menjadi sebuah kedai gunting rambut. 

“Malam pertama saya gunting rambut 11 orang pelanggan. Walaupun gugup dan banyak kesilapan, saya dapat RM110 malam tu. Dari situ saya tahu saya ada bakat dan peluang besar dalam bidang ni,” katanya.

Semangat itu menjadi titik tolak kepada perjalanan Nimroc Barbershop yang kini menjadi jenama gunting rambut anak muda paling berkembang pesat di Malaysia.

Bagi Ardy, cabaran paling besar yang pernah dihadapi ialah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami terpaksa tutup kedai selama beberapa bulan. Simpanan makin susut, pekerja pun ramai berhenti. Itu masa paling mencabar,” ujarnya.

Namun selepas sekatan dilonggarkan, beliau bangkit semula dengan strategi baharu iaitu menekankan latihan staf dan pengalaman pelanggan yang lebih mesra.

“Sekarang, lebih 70 peratus pelanggan kami ialah pelanggan tetap. Ada yang dah potong rambut dengan kami lebih 10 tahun,” katanya.

Menurutnya, rahsia kejayaan Nimroc Barbershop bukan sekadar pada potongan rambut, tetapi juga budaya perkhidmatan pelanggan yang mesra.

“Tagline kami ialah ‘A place where styles are shaped and friendships are made’. Kami mahu pelanggan rasa seperti kawan, bukan sekadar pelanggan. Ada pelanggan yang dulu datang dengan ayah, sekarang anak pula bekerja di Nimroc,” katanya. 

Tambahnya, menyedari pentingnya tenaga kerja mahir, dirinya menubuhkan Nimroc Academy pada tahun 2021, selepas pandemik melanda.

“Kami buka akademi sebab ramai pekerja balik kampung masa PKP. Dari situ kami sedar penting untuk lahirkan bakat sendiri. 

“Menariknya, pelajar yang menyertai Nimroc Academy menerima biasiswa penuh dan jaminan pekerjaan selama setahun selepas tamat latihan. Jika tidak mahu bekerja, mereka hanya perlu membayar semula yuran latihan sebanyak RM4,500.

“Program itu bukan sahaja memberi peluang kepada anak muda tanpa kelulusan tinggi, malah membuka laluan kerjaya baharu dalam bidang kemahiran profesional,” tambah Ardy. 

Jelasnya, setakat ini, Nimroc Barbershop mencatat jualan bulanan mencecah RM1 juta dan menyasarkan pembukaan 100 cawangan menjelang tahun 2030.

“Selain itu, saya turut merancang melebarkan sayap ke luar negara dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Swansea University di United Kingdom (UK).

“Pihak universiti sendiri datang ke Malaysia dan berminat dengan cara kami urus perniagaan. Sekarang kami sedang dalam perbincangan untuk buka cawangan pertama di UK,” katanya.

Tidak hanya berhenti di situ, Nimroc Barbershop turut mengeluarkan produk penjagaan rambut di bawah jenama Mr. Brown termasuk pomade dan clay. 

Dalam masa terdekat, jenama itu bakal memperkenalkan rangkaian baharu seperti syampu, pencuci muka dan gel mandian.

Ardy berkata, pesanan kepada anak muda yang mahu memulakan perniagaan agar tidak takut untuk gagal.

“Gagal bukan penamat, tapi proses untuk berjaya. Jangan tunggu sempurna baru mula. Teruskan belajar dan perbaiki diri. Satu hari nanti, hasilnya akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×