AMALAN bekerja dari rumah (BDR) yang melonjak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini beralih kepada model hibrid iaitu gabungan kerja dari pejabat dan rumah, terutama dalam sektor berintensifkan pengetahuan.
Dalam sektor awam, dasar BDR yang diperincikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Oktober 2025 turut menegaskan bahawa amalan tersebut kekal dibenarkan secara bersyarat.
Secara keseluruhan, pasaran buruh negara menunjukkan keanjalan yang kukuh pasca pandemik dengan kadar pengangguran kekal rendah sekitar 3.1 peratus pada suku pertama 2025, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) melebihi 70 peratus.
Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, data dan kajian antarabangsa menunjukkan kerja hibrid bukan lagi trend sementara, sebaliknya menjadi norma kekal dalam struktur kerja moden.
“Kajian besar diterbitkan dalam jurnal Nature (2024) mendapati kerja hibrid tidak menjejaskan produktiviti, malah menurunkan kadar berhenti kerja sebanyak satu pertiga.
“Di Malaysia, dasar kerajaan dan inisiatif TalentCorp turut menggalakkan amalan kerja fleksibel sebagai sebahagian daripada budaya kerja baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, sektor paling bersedia melaksanakan model kerja BDR, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan kewangan, perakaunan, perundangan, konsultansi dan kandungan digital yang sebahagian besar bergantung pada infrastruktur digital dan pengetahuan.
“Sebaliknya, sektor pembuatan, logistik, pembinaan, runcit serta kesihatan barisan hadapan kurang sesuai kerana memerlukan kehadiran fizikal, manakala Kajian Bank Dunia menunjukkan sekitar 64.5 peratus pekerjaan di Malaysia tidak boleh dijalankan dari rumah.
“Tiada bukti menunjukkan amalan BDR menyumbang kepada peningkatan pengangguran, sebaliknya ia memperluas penawaran tenaga kerja dengan membolehkan lebih ramai individu bekerja dari lokasi berbeza.
“Bilangan pekerjaan melebihi 17 juta pada 2025 membuktikan bahawa model kerja fleksibel memberi kesan positif terhadap penyerapan tenaga kerja,” jelasnya.
Beliau berkata, BDR turut membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita, ibu bekerja serta orang kurang upaya (OKU).
“Data terkini turut menunjukkan LFPR wanita meningkat melepasi tahap pra-pandemik pada 2024, sekali gus mengesahkan manfaat BDR terhadap penyertaan tenaga kerja wanita.
“Selain itu, kajian menunjukkan produktiviti kerja hibrid setara dengan kerja di pejabat dan mampu meningkatkan kesejahteraan pekerja, mengurangkan tekanan serta mengekalkan bakat,” katanya.
Dari sudut ekonomi makro, beliau berkata, amalan bekerja dari rumah turut memberi kesan positif terhadap kecekapan kos dan produktiviti perniagaan.
“Banyak syarikat kini mengecilkan ruang pejabat dan beralih kepada konsep ruang fleksibel, sekali gus mengurangkan kos sewaan dan utiliti, manakala pasaran pejabat di Kuala Lumpur turut menunjukkan penstrukturan semula positif dengan permintaan baharu terhadap ruang kolaboratif.
“Selain itu, perubahan corak kerja turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi bandar. Pengangkutan awam kini hampir kembali ke paras pra-pandemik, namun corak perjalanan menjadi lebih fleksibel.
“Segmen hartanah pejabat pula menunjukkan kadar kekosongan yang menurun, manakala perniagaan kecil bandar menyesuaikan strategi kepada perubahan perbelanjaan pengguna yang lebih tertumpu pada hiburan, makanan dan minuman serta ruang kerja bersama,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, amalan BDR dijangka kekal sebagai ciri jangka panjang tempat kerja moden, walaupun data terkini menunjukkan trend penurunan penggunaannya dalam kalangan majikan.
“Fleksibiliti yang ditawarkan oleh BDR terus memberikan kelebihan ketara, membolehkan syarikat mengekalkan tahap produktiviti sambil menawarkan pekerja pendekatan yang lebih seimbang untuk mengurus komitmen kerja dan peribadi.
“Bagi kebanyakan majikan, budaya ini telah berkembang melangkaui keperluan era pandemik kepada manfaat strategik yang bertujuan untuk mengekalkan bakat dan meningkatkan kepuasan pekerja.
“Ia semakin dilihat sebagai sebahagian daripada cadangan nilai pekerja yang lebih luas, membantu syarikat menarik dan mengekalkan pekerja mahir yang menghargai fleksibiliti,” katanya.
Beliau berkata, lebih-lebih lagi apabila Malaysia beralih kepada masyarakat yang semakin menua, konsep BDR menawarkan susunan kerja alternatif yang penting bagi pekerja berusia. – UTUSAN










