Bank Islam tawar bantuan kewangan kepada mangsa banjir

Bank Islam tawar bantuan kewangan kepada mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan beberapa bantuan kewangan khusus bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, dengan keutamaan diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas, selain sokongan untuk pelanggan individu.

Inisiatif itu susulan banjir yang melanda beberapa kawasan dan menyebabkan kerosakan kepada operasi perniagaan serta aset penting khususnya dalam sektor PMKS.

“Untuk PMKS, Bank Islam menawarkan program pembiayaan Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt) yang disasarkan kepada perniagaan di daerah yang dikenal pasti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai kawasan bencana banjir.

“Melalui kemudahan ini, PMKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bagi membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang rosak, termasuk kilang, mesin serta modal kerja asas.

“Bank Islam turut menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan PMKS sedia ada di kawasan bencana banjir yang ditetapkan NADMA. 

“Bantuan ini merangkumi semua kemudahan kredit dengan pembayaran terjadual, termasuk Pembiayaan Berjangka, Kredit Pusingan, Talian Tunai dan kemudahan Perdagangan,” katanya dalam kenyataan. 

Program pembiayaan RAFt juga dibuka kepada perniagaan yang berada di kawasan berisiko tinggi untuk mengalami bencana serupa pada masa akan datang.

Bank Islam turut mengaktifkan semula Program Prihatin Banjir bagi pelanggan individu yang mempunyai Pembiayaan-i Rumah, Peribadi dan Kenderaan.

Mereka boleh memohon penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat.

 Bank turut menawarkan penggantian percuma untuk kad Kredit-i, Debit-i dan buku cek yang rosak atau hilang akibat bencana.

Permohonan bantuan kewangan boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Islam dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian banjir.

Langkah proaktif itu dijangka dapat membantu pelanggan yang terjejas kembali stabil dari segi kewangan dan memulihkan operasi perniagaan yang tergendala akibat bencana alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN