KUALA LUMPUR: Pemilik Aquaria, Aquawalk Group Berhad (Aquawalk) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 sen sesahamberbanding harga tawaran permulaannya (IPO), 31 sen sesaham.
Jumlah dagangan pembukaan sebanyak 26.49 juta unit saham.
Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Simon Foong berkata, hasil kutipan akan disalurkan untuk menaik taraf dan mengembangkan akuarium sedia ada iaitu Aquaria KLCC dan Aquaria Phuket bagi memperkayakan lagi pengalaman pengunjung.
“Selain itu, kami akan memperluaskan jejak dan melabur dalam projek baharu di Kota Kinabalu, Sabah serta Surabaya, Indonesia.
“Hari ini juga merupakan detik bersejarah bagi Aquawalk apabila kami secara rasmi disenaraikan di Pasaran ACE. Sambutan hangat daripada para pelabur amat memberi inspirasi dan kami bersemangat untuk memulakan bab baharu perkembangan ini.
“Di Aquawalk, kami lebih daripada sekadar pengendali oseanarium.
“Kami menggabungkan pelancongan, pendidikan dan pemuliharaan untuk mencetuskan rasa ingin tahu, memupuk pembelajaran, dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya pada sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat berkenaan di Pasaran ACE di sini, semalam.
Beliau berkata, sebagai perantara utama kepada pelancongan ASEAN, syarikat itu berada pada kedudukan yang tepat untuk memanfaatkan momentum pertumbuhan pelancongan rantau ini, disokong oleh inisiatif seperti Tahun Melawat Malaysia (TMM2026)
“Tahun depan dijangka menjadi tahun yang baik kerana adanya kempen TMM2026 yang ditambah dengan insentif kerajaan kepada rakyat untuk melawat taman tema dan akuarium, sekali gus akan memperkukuh prestasi keseluruhan kami.
“Pada masa ini, pengunjung antarabangsa menyumbang 15 peratus hingga 20 peratus kepada hasil Aquaria KLCC,” ujarnya.
Daripada RM114.3 juta yang dikumpulkan melalui IPO, Aquawalk memperuntukkan RM89.8 juta (78.6 peratus) untuk perbelanjaan modal, RM3 juta (2.6 peratus) untuk penambahbaikan sistem IT, RM14.5 juta (12.7 peratus) untuk modal kerja dan RM7 juta (6.1 peratus) bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.
M&A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Pengurus Pengunderaitan, Pengunderai Bersama dan Ejen Penempatan Bersama, manakala CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd bertindak sebagai Pengunderai Bersama dan Ejen Penempatan Bersama bagi latihan IPO ini. – UTUSAN










