Alfa Romeo lancar dua model utama, kembali ke pasaran Malaysia selepas 10 tahun - Utusan Malaysia

Alfa Romeo lancar dua model utama, kembali ke pasaran Malaysia selepas 10 tahun

ALFA ROMEO, jenama dari Itali kembali ke pasaran tempatan selepas 10 tahun dengan pelancaran Giullia dan Stelvio.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua model utama Alfa Romeo, Giulia dan Stelvio Veloce, memasuki pasaran tempatan melalui DLSB Partners Sdn. Bhd., pengedar bebas yang juga ahli Atlantis Motor Group, menandakan kemunculan semula jenama tersebut selepas 10 tahun.

Kembalinya jenama Itali itu turut disokong strategi baharu yang menekankan aspek reka bentuk, kejuruteraan dan pengalaman pemilikan premium, selaras dengan tema global “Drive Beautifully”.

Pengarah Eksekutif DLSB Partners Sdn. Bhd., Datuk Douglas Cheng berkata, rakyat Malaysia mempunyai hubungan istimewa dengan Alfa Romeo dan pelancaran semula ini dijangka mengembalikan minat serta keyakinan terhadap jenama ikonik tersebut.

“Bagi peminat Alfa Romeo, kenderaan ini bukan sekadar pengangkutan tetapi suatu ekspresi gaya dan personaliti. 

“Kami berbesar hati menghidupkan semula ikatan itu dan Alfa Romeo hanyalah permulaan sebelum lebih banyak jenama menarik dibawa masuk,” katanya pada majlis pelancaran dua model baharu jenama itali itu ke pasaran Malaysia. 

Pengumuman harga bagi dua model jenama Itali itu dijangka akan diumumkan pada Januari tahun hadapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, kemunculan semula jenama itu di Malaysia bukan sekadar kebangkitan sebuah jenama, tetapi penyalaan semula emosi dan jiwa dalam dunia pemanduan.

“Selama puluhan tahun, Alfa Romeo telah memikat hati kita dengan semangat, ketahanan dan warisan yang mendalam nilai-nilai yang menyatukan kereta serta pemandunya. 

“Bersama rakan kongsi kami, DLSB, kami teruja untuk mengembangkan komuniti ‘Alfisti’, serta meraikan hubungan unik antara pemandu dan mesin,” ujarnya. 

Alfa Romeo Giulia

Pelancaran Giulia dan Stelvio Veloce menandakan usaha Alfa Romeo untuk menempatkan semula jenama itu dalam segmen sedan sport premium dan SUV prestasi tinggi. 

Kedua-dua model berkenaan telah menjadi pemacu kebangkitan jenama dan menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk kejayaan dalam anugerah BEST CARS di Hamburg baru-baru ini.

Majlis anugerah itu diadakan di Pelabuhan Hamburg, di mana lebih daripada 94,000 pembaca majalah ‘auto motor und sport’ mengundi Alfa Romeo Giulia di tempat pertama buat kali kelapan dalam kategori “Midsize Import”, manakala Alfa Romeo Stelvio memenangi kategori “Large SUV/Off-road Vehicle Import”.

Justeru, Giulia Veloce meneruskan legasi sedan sport Alfa Romeo dengan reka bentuk aerodinamik, gril “Trilobo” serta lampu LED Adaptive Matrix “3+3”. 

Enjin turbo 2.0 liter yang menghasilkan 280hp dan 400Nm dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan memacu roda belakang, membolehkan ia memecut 0–100 km/j dalam 5.7 saat.

Penggunaan suspensi Alfa™ Link, pembahagian berat hampir 50:50 dan penggunaan bahan aluminium memberikan karakter pemanduan yang lincah, responsif dan seimbang. 

Bahagian dalaman pula menampilkan elemen premium seperti kluster digital 12.3 inci, stereng tiga jejari dan kemasan aluminium.

Dalam pada itu, Stelvio Veloce pula direka sebagai SUV prestasi tinggi pertama Alfa Romeo, dengan enjin 2.0 liter turbo 280hp serta sistem pacuan semua roda pintar Q4. 

Model ini menawarkan pemanduan lincah setanding sedan melalui penggunaan casis ringan, suspensi responsif dan pembahagian berat 50:50.

Bahagian kabin tampil sporty dengan balutan kulit, kerusi sport berukir dan ruang kargo luas untuk kegunaan harian atau perjalanan jarak jauh.

Bagi memperkukuh kehadiran di Malaysia, Alfa Romeo membuka pusat 3S flagship ‘Casa Alfa Romeo’ di Rhapsody Square, TREC Kuala Lumpur sebagai hab komuniti Alfisti. 

Pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti rasmi melalui juruteknik bertauliah.

Alfa Romeo Stelvio

Sempena pelancaran, Alfa Romeo Malaysia turut memperkenalkan rangkaian program eksklusif iaitu La Bella Vita yang merupakan acara gaya hidup bertemakan pengalaman premium dan jelajah destinasi termasuk Museo Alfa Romeo.

Ia turut merangkumi Speed Dating iaitu pengalaman pemanduan litar yang memberi peluang pemilik merasai dinamisme sebenar rangkaian model Alfa Romeo, serta Alfa Concierge atau bantuan peribadi untuk pemilik baharu dalam semua aspek penjagaan kenderaan.

Bagi menghargai pemilik sedia ada serta Alfa Romeo Owners Club (ditubuhkan sejak 1993), program ‘Famiglia Alfa Romeo’ menyediakan sokongan khas termasuk alat ganti tulen, juruteknik bertauliah dan bantuan tepi jalan.

Alfa Romeo Malaysia turut mengumumkan penyertaan sebagai penaja utama ITF World Tennis Tour M15, menandakan komitmen jangka panjang dalam aktiviti sukan dan gaya hidup di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN