PETALING JAYA: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan permintaan terhadap pekerjaan kontrak dijangka menjadi pemacu utama perubahan dalam strategi pengambilan bakat di Malaysia tahun depan, menurut Tinjauan Gaji Malaysia 2026 terbitan firma penyelesaian bakat global, Robert Walters.
Laporan itu mendapati sebanyak 51 peratus organisasi di negara ini telah mula beralih kepada model pengambilan kontrak sebagai strategi utama, manakala 10 peratus lagi merancang melaksanakannya pada 2026.
“Peralihan itu didorong oleh keperluan memenuhi permintaan bakat jangka pendek, mengurus jumlah pekerja serta mendapatkan kepakaran khusus.
“Pada masa sama, minat profesional terhadap pekerjaan berasaskan projek semakin meningkat, dengan 78 peratus responden menyatakan kesediaan mempertimbangkan tawaran kontrak sekiranya syarat seperti tempoh, fleksibiliti kerja dan skop tugasan adalah jelas.
“Namun, kumpulan yang kekal memilih pekerjaan tetap menyebut faktor kestabilan sebagai keutamaan,” menurut laporan itu.
Pengurus Negara Robert Walters Malaysia, Gan Hua Choon berkata, landskap bakat negara kini berada pada titik perubahan.
“Berlatarbelakangkan ketidaktentuan ekonomi global dan kekangan belanjawan, organisasi semakin memilih model pengambilan projek dan kontrak.
“Golongan profesional juga melihat peranan kontrak sebagai strategi kerjaya yang mampan dengan peluang pengalaman lebih luas,” katanya.
Seiring sasaran Malaysia memperoleh pelaburan lebih AS$40 bilion (RM169.2 bilion) dalam sektor AI dan pusat data menjelang 2030, semakin banyak organisasi meningkatkan keupayaan digital mereka.
Mengulas lanjut, Hua Choon berkata, dalam pasaran buruh yang ketat, organisasi perlu bertindak balas secara strategik.
“Profesional hari ini menilai lebih daripada sekadar gaji termasuk fleksibiliti, keseimbangan kerja-hidup dan kesejahteraan,” tambahnya.
Dalam pada itu, laporan itu menunjukkan 52 peratus syarikat sudah memperkenalkan AI di tempat kerja, manakala 34 peratus lagi merancang mengintegrasikannya pada 2026.
“Kebanyakan penggunaan AI tertumpu kepada fungsi pentadbiran dan sokongan perniagaan. Namun, 83 peratus organisasi mengakui mereka perlu melatih semula atau meningkatkan kemahiran sehingga separuh tenaga kerja dalam tempoh lima tahun bagi memastikan mereka seiring perkembangan teknologi,” katanya.
Dalam kalangan profesional, hampir semua responden sudah menggunakan AI untuk tugasan harian, terutama bagi penyelidikan dan mendapatkan maklumat.
Bagaimanapun, hampir separuh mengakui sukar menguasai kemahiran AI akibat kekurangan latihan formal, menyebabkan ramai mengambil inisiatif sendiri mengikuti kursus peningkatan kemahiran.
Laporan itu turut menunjukkan jurang persepsi antara organisasi dan pencari kerja mengenai gaji serta faedah.
“Walaupun 85 peratus organisasi merancang mengekalkan atau meningkatkan pengambilan pekerja dalam 6 hingga 12 bulan akan datang, ramai majikan menganggap kekurangan calon yang mempunyai kemahiran dan pengalaman tepat sebagai cabaran terbesar.
“Sebaliknya, profesional merasakan majikan masih kurang fleksibel dalam menerima kemahiran merentas industri walaupun persaingan semakin sengit dan peluang terhad,” katanya. -UTUSAN










