WE2025 perkasa usahawan wanita, jana potensi pelaburan RM100 juta - Utusan Malaysia

WE2025 perkasa usahawan wanita, jana potensi pelaburan RM100 juta

JESSIE Tan (berdiri, tengah) bersama barisan penaja WE2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang keusahawanan wanita terbesar di negara ini, WE2025: Future in Motion Women in Trade. Investment. Leadership, dijangka menarik penyertaan lebih 10,000 peserta serta menjana pelaburan mencecah RM100 juta.

Acara yang diterajui oleh Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta disokong Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu akan berlangsung dari 25 hingga 27 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, Jessie Tan berkata, penganjuran WE2025 menghimpunkan pemimpin global, tokoh industri dan usahawan terkemuka dalam usaha memperkasa peranan wanita dalam perdagangan, pelaburan serta kepimpinan.

Menurutnya, WE2025 bukan sekadar persidangan, tetapi satu gerakan besar untuk memperkukuh kedudukan wanita dalam ekonomi negara dan serantau, malah menjadi antara platform pemerkasaan wanita terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.

“Program ini menumpukan kepada penciptaan peluang, kerjasama rentas sempadan dan memperkukuh barisan kepimpinan masa depan, sekali gus menjadikannya acara penanda aras baharu bagi kepimpinan dan keusahawanan wanita.

“WE2025 bukan hanya untuk wanita dalam dunia perniagaan, tetapi turut meraikan kepelbagaian termasuk golongan lelaki dan komuniti kurang upaya. Matlamat kami ialah mewujudkan ekosistem yang inklusif dan menyokong semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar Previu Media bagi WE2025, di sini hari ini.

Tambah Jessie, kerjasama dengan Matrade akan membolehkan program padanan perniagaan antarabangsa dijalankan di seluruh ASEAN dengan pembiayaan sepenuhnya oleh sektor swasta, bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu serta memperkukuh kedudukan usahawan wanita di rantau ini.

Dalam majlis sama, Berjaya Food Berhad (BFood) turut diumumkan sebagai penaja korporat utama WE2025 yang disifatkan sebagai bukti komitmen sektor swasta terhadap agenda keterangkuman sosial dan pembangunan mampan.

Melalui penyertaan dalam WE2025, BFood meneruskan usaha memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan menyediakan peluang kerjaya kepada komuniti pekak dan memperkasa remaja perempuan daripada kumpulan B40 melalui hasil jualan beg kopi kitar semula.

Sementara itu, Pengarah Projek WE2025, Michelle Lau berkata, acara berkenaan menampilkan empat komponen utama iaitu Pameran Perdagangan dan Pelaburan, Persidangan Kepimpinan, WE in Dialogue dan WE in Exchange, selain 11 acara berprestij yang menampilkan 25 penceramah antarabangsa.

Beliau berkata, matlamat utama penganjuran itu ialah memastikan wanita bukan sekadar berasa berkuasa selepas menghadiri persidangan, tetapi benar-benar mampu menjadi ejen perubahan dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing.

“Apabila wanita mempunyai keupayaan kewangan sendiri, mereka bukan sahaja mengubah kehidupan diri tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keluarga dan negara. Wanita bukan sekadar angka atau kuota kita sudah berdikari dan berpendidikan, kini masanya untuk bekerjasama serta saling menghargai agar semua pihak benar-benar berdaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN