SUNWAY Property melancarkan Sunway Cochrane, pembangunan pangsapuri servis pegangan bebas seluas 2.18 hektar yang bakal menjadi mercu gaya hidup bandar mampan dan saling berhubung di tengah ibu negara.
Dibangunkan sebagai pembangunan berorientasikan transit (TOD), projek itu menampilkan jambatan berbumbung sepanjang 60 meter yang menghubungkan terus ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) Cochrane serta menawarkan lebih 40 kemudahan gaya hidup eksklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min berkata, projek tersebut direka bagi memenuhi keutamaan baharu pembeli rumah moden yang kini lebih menekankan kemudahan akses, keterhubungan dan kecekapan ruang berbanding keluasan semata-mata.
“Sebagai Master Community Developer, visi kami adalah untuk membangunkan pembangunan bersepadu yang bukan sekadar kediaman, tetapi juga ekosistem yang sihat, berdaya tahan dan saling berhubung.
“Dengan Sunway Cochrane, kami menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan TOD di Kuala Lumpur melalui akses langsung ke MRT, pematuhan piawaian GreenRE, serta penyediaan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) sebagai teras reka bentuk,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, projek itu dibangunkan berasaskan rangka kerja Sunway Design & Development Architecture (SDDA) yang menekankan empat nilai utama iaitu kemampanan, inovasi, kesihatan dan kesejahteraan, serta gaya hidup dan pengalaman baharu bagi memastikan setiap aspek pembangunan memberikan nilai jangka panjang kepada pemilik rumah dan pelabur.
“Menariknya, lokasi Sunway Cochrane berada di kawasan strategik di Jalan Cochrane, berhadapan IKEA Cheras dan MyTown serta bersambung secara langsung dengan Sunway Velocity, menjadikannya sebahagian daripada ekosistem bandar bersepadu dengan pelbagai kemudahan gaya hidup dalam jarak berjalan kaki.
“Dari segi keterhubungan, penduduk dapat menikmati akses mudah ke destinasi utama seperti Tun Razak Exchange (TRX) yang hanya satu hentian MRT, Bukit Bintang dua hentian, Merdeka 118 tiga hentian dan KL Sentral lima hentian,” tambah beliau.
Pembangunan dua menara itu menawarkan unit berkeluasan antara 650 hingga 1,001 kaki persegi dengan susun atur dua hingga tiga bilik tidur, dilengkapi sistem rumah pintar, kunci pintu digital serta kawalan pencahayaan dan pendingin hawa di hujung jari.
Beberapa unit turut dilengkapi dinding boleh ubah suai, membolehkan ruang disesuaikan mengikut keperluan keluarga muda dan profesional bandar.
Mengulas lanjut, Chong berkata, reka bentuk Sunway Cochrane turut mengutamakan kemampanan jangka panjang, sejajar dengan komitmen Sunway Property terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan).
“Antara kemudahan eksklusif yang disediakan termasuk kolam infiniti sepanjang 50 meter, gimnasium bertingkat, ruang kerja bersama dan dek bumbung yang menawarkan pemandangan panorama bandar Kuala Lumpur.
“Selain kediaman, pembeli rumah baharu Sunway Cochrane secara automatik menjadi ahli Sunway Property+, program gaya hidup selepas jualan yang menawarkan pelbagai manfaat.
“Program ini merangkumi Care+ yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan rumah seperti pembersihan, bantuan penyelenggaraan, dan servis pendingin hawa.
“Rent+ yang menawarkan kelebihan penyewa untuk menukar sewa bulanan kepada rebat pembelian rumah pertama Reward+ untuk keistimewaan gaya hidup seperti jemputan eksklusif dan diskaun di seluruh ekosistem Sunway,” katanya.
Gabungan lokasi strategik, reka bentuk pintar, kemudahan lengkap dan komitmen terhadap kemampanan menjadikan Sunway Cochrane bukan sekadar tempat tinggal, tetapi simbol gaya bandar moden yang efisien dan berdaya tahan untuk generasi masa hadapan. – UTUSAN










